
Hakim Zainal Azman Ab Aziz menjatuhkan hukuman itu ke atas Faizol Aznan Muhamad, 40, dan Mohd Riduan Ismail, 32, selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama membunuh Razak Abdullah yang ketika kejadian berusia 45 tahun di tepi pantai Geliga berhadapan sebuah sekolah di Chukai, Kemaman, pukul 7 pagi pada 3 Jun 2016, menurut laporan Berita Harian.
Dalam kejadian itu, dua tertuduh berselisih faham dengan seorang lelaki yang juga pemungut telur penyu. Dua tertuduh bertindak agresif dengan memukul mangsa selepas ditegur tindakan itu.
Mangsa dilaporkan parah di leher, kepala, dada dan perut.
Terdahulu, Zainal Azman dalam penghakimannya berkata, laporan forensik jelas menunjukkan kecederaan di kepala, leher, dada dan perut berpadanan dengan kayu dan topi keledar yang digunakan dalam kejadian berkenaan.
Dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (Akta 574) dan dibaca bersama Seksyen 35 kanun yang sama.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Engku Ahmad Rashdi Engku Abdillah dan Intan Nor Hilwani Mat Rifin manakala tertuduh diwakili peguam, Ghazali Ismail dan Masliela Ismail.