7 ‘tokan’ dicekup, polis rampas dadah lebih RM600,000

7 ‘tokan’ dicekup, polis rampas dadah lebih RM600,000

Bekalan dadah disyaki diperoleh dari Thailand dan dibawa masuk dipercayai menggunakan 'lorong tikus' di sekitar pagar sempadan Malaysia-Thailand di Padang Besar.

Ketua Polis Perlis Surina Saad berkata, modus operandi sindiket adalah dengan menjadikan kediaman yang disewa di Kangar sebagai transit penyimpanan dadah yang dipercayai diperoleh dari Thailand. (Gambar Facebook Polis Perlis)
PETALING JAYA:
Tujuh lelaki termasuk ketua sindiket pengedaran dadah jenis ganja dan syabu ditahan selepas polis merampas kedua-dua dadah jenis itu di Perlis dan Selangor minggu lalu.

Dadah bernilai RM603,920 itu dirampas melalui tujuh serbuan bermula 4 Ogos hingga Sabtu lalu.

Ketua Polis Perlis, Surina Saad, berkata, semua suspek yang ditahan berusia 27 hingga 51 tahun dan dilakukan hasil kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Perlis dan Bahagian D8 Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

“Dalam serbuan pertama kira-kira 10 pagi 4 Ogos lalu, kami menahan suspek di sebuah rumah di kawasan perumahan di Kangar dan merampas ganja seberat 161.76kg.

“Serbuan itu membawa polis ke rumah lain dua jam kemudian di kawasan Kangar di mana dadah syabu seberat 800g ditemui dan pada 11.30 malam, polis menahan tiga lagi suspek dipercayai ada kaitan dengan sindiket itu,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Surina berkata, pada 5 Ogos pula, polis menyerbu rumah di satu lagi kawasan perumahan di Kangar pada 1.20 tengah hari dan menjumpai dadah jenis syabu seberat 3.32 kg.

Katanya, susulan itu polis menahan dua suspek di Beseri, Padang Besar pada 4 petang hari sama dan 12 tengah hari pada 6 Ogos sebelum diakhiri dengan penahanan ketua sindiket berusia 27 tahun di Sungai Buloh, Selangor pada jam 1.40 tengah hari, juga hari sama.

“Siasatan awal mendapati, modus operandi sindiket ini adalah dengan menjadikan kediaman yang disewa di Kangar sebagai transit penyimpanan dadah yang kita percaya diperoleh dari Thailand.

“Sindiket ini juga dipercayai aktif sejak bulan lalu dan pengedaran dadah berkenaan dilakukan ke seluruh kawasan utara dan selatan Semenanjung Malaysia menggunakan pengedar atau ‘tokan’ yang juga suspek sindiket ini,” katanya.

Beliau berkata, kemasukan bekalan dadah itu dipercayai menggunakan ‘lorong tikus’ di sekitar pagar sempadan Malaysia-Thailand di Padang Besar.

Katanya, ahli sindiket juga dipercayai menggunakan rumah sewa di beberapa kawasan perumahan di Kangar sebagai tempat penyimpanan sementara dan pemprosesan pecah runcit dadah berkenaan untuk pasaran tempatan.

“Ketua sindiket pengedaran dadah ini juga mengendalikan perjalanan pengedaran dadah ini melalui panggilan telefon bagi merekrut orang dari negeri ini untuk menjadi pengedar.

“Hasil semakan rekod jenayah lampau juga mendapati semua suspek mempunyai rekod jenayah membabitkan kes dadah dan pelbagai jenayah lain,” katanya.

Surina berkata, selain itu ujian saringan air kencing terhadap suspek mendapati semua mereka positif syabu.

Katanya, polis turut merampas pelbagai kenderaan yang digunakan suspek seperti Toyota Vellfire, Perodua Alza dan Perodua Myvi, selain 10 motosikal pelbagai jenama dipercayai digunakan oleh “tokan” dalam sindiket pengedaran dadah ini.

Semua suspek kini direman seminggu hingga 13 Ogos untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 15(1)(a) dan 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.