
Bagaimanapun, beliau meminta supaya diberi masa sehingga esok untuk menjelaskan perkara itu.
“Ya memang surat itu saya keluarkan, bagi sedikit masa untuk saya beri penjelasan esok,” katanya menurut laporan Berita Harian.
Beliau berkata demikian bagi mengulas gambar dua surat pelantikan dan penangguhan pelantikan Roziah yang menjadi tular di media sosial sejak malam tadi.
Dua surat yang tersebar itu menunjukkan pelantikan Roziah sebagai Naib Canselor dan ia ditandatangani oleh Menteri Pengajian Tinggi, Noraini Ahmad yang bertarikh 2 Ogos.
Selepas itu, terdapat satu lagi surat yang menyatakan lantikan baharu itu telah ditangguhkan.
Surat lantikan itu turut menyatakan ia dibuat selaras dengan peruntukan mengikut Seksyen 20 (1) Akta UiTM bagi tempoh berkuat kuasa 9 Ogos 2021 sehingga 11 Oktober 2023.
Pada surat berkenaan, Noraini turut mengucapkan tahniah kepada beliau dan yakin dengan kemampuan Roziah untuk menjadikan UiTM lebih maju dan cemerlang.
Manakala surat penangguhan yang ditandatangani Husaini bertarikh 7 Ogos itu pula menyatakan pelantikan yang berkuatkuasa 9 Ogos itu ditangguhkan sehingga keputusan baharu dibuat kerajaan.
Ketika ini, Roziah memegang jawatan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UiTM dan memangku jawatan Naib Canselor selepas khidmat Profesor Emeritus Datuk Dr Mohd Azraai Kassim berakhir pada 10 Mac lalu.
Beberapa hari lalu, Noraini yang juga Ketua Wanita Umno telah meletakkan jawatan sebagai Menteri Pengajian Tinggi susulan ketetapan UMNO menarik balik sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN).