Hospital fokus Covid-19, pesakit lain terkesan, kata Noor Hisham

Hospital fokus Covid-19, pesakit lain terkesan, kata Noor Hisham

Ketua Pengarah Kesihatan berkata, sukar untuk melakukan pembedahan ke atas pesakit bukan Covid-19 kerana hospital perlu menyalurkan semua sumber untuk memerangi pandemik.

Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kapasiti rawatan kritikal di hospital perlu ditingkatkan bukan hanya untuk menangani kes Covid-19, tetapi juga bagi pesakit umum.
PETALING JAYA:
Hospital menyalurkan semua sumber mereka untuk memerangi pandemik Covid-19 menyebabkan pesakit yang menderita penyakit lain terpaksa menerima kesan tidak sepatutnya, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah.

Disebabkan itu, katanya, sukar untuk melakukan pembedahan ke atas pesakit bukan Covid-19.

Beliau dipetik Malaysiakini sebagai berkata, penangguhan pembedahan elektif dan pengurangan pembedahan kecemasan membawa kerosakan kolateral terhadap kesihatan dan kesejahteraan pesakit bukan Covid-19, termasuk pembedahan kecemasan dan masa kritikal seperti pembedahan kanser.

Dalam ucapan maya di Persatuan Pakar Bius Malaysia dan Kongres Saintifik Tahunan Kolej Pakar Bius 2021, beliau berkata, ini khasnya untuk hospital hibrid yang mengendalikan kes Covid-19 dan pesakit umum.

Hisham berkata, mustahil untuk melakukan pembedahan elektif sejak Disember 2020, oleh itu senarai menunggu untuk pembedahan elektif dan separa elektif mencapai tahap tertinggi dalam sejarah.

Katanya, terdapat keperluan mendesak untuk negara mengatur strategi kembali melakukan pembedahan elektif bagi menangani masalah tunggakan dan menyediakan penyelesaian buat pesakit yang menunggu pembedahan bukan elektif.

“Malaysia menghabiskan 10 bulan lalu dengan terus menggunakan wad dan dewan bedah serta Unit Rawatan Rapi lapangan sementara bagi menangani lonjakan kes.

“Pandemik mendedahkan kekurangan tenaga kerja dan keperluan untuk melatih, melatih semula dan melabur dalam mewujudkan tenaga kerja bius lebih besar.”

Beliau berkata, infrastruktur dan kemudahan adalah penting, tetapi perlu ada doktor dan kakitangan mengisinya.

Katanya, lebih ramai pakar bius umum, pegawai perubatan dan jururawat rawatan kritikal diperlukan kerana kekurangan itu mengehadkan rancangan memperluaskan katil rawatan rapi ketika lonjakan kes Covid-19.

“Terdapat kekurangan tenaga kerja bius sebelum pandemik. Setakat November 2019, terdapat 1,024 pakar bius berdaftar dan 50 pakar perubatan berdaftar yang khusus dalam merawat pesakit kritikal, dengan separuh mereka dalam sektor swasta.”

Hisham berkata, dianggarkan terdapat kekurangan kira-kira 1,2000 pakar bius dalam sektor awam pada 2020 dan ketika pandemik berlaku tahun lalu, hanya ada 560 pakar bius dan 21 pakar perubatan (turut dikenali sebagai doktor rawatan kritikal) yang berkhidmat di Kementerian Kesihatan.

Katanya, dianggarkan menjelang 2025, akan berlaku kekurangan 645 pakar bius dan 87 subpakar.

“Ia memerlukan lebih 10 tahun untuk menangani kekurangan itu, jika kapasiti latihan semasa tidak ditingkatkan.”

Beliau turut mendapati pandemik tidak mungkin berakhir dalam enam bulan akan datang, oleh itu kapasiti rawatan kritikal perlu ditingkatkan bukan hanya untuk menangani kes Covid-19, tetapi juga buat pesakit umum.

“Pandemik menunjukkan keperluan untuk meningkatkan pelaburan dan tenaga kerja dalam sistem penjagaan kesihatan negara.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.