20% isi rumah M40 kini turun ke B40, kata Guan Eng

20% isi rumah M40 kini turun ke B40, kata Guan Eng

Bekas menteri kewangan itu berkata kumpulan isi rumah T20 juga terjejas apabila 12.8% daripadanya turun kepada kategori kumpulan M40

Lim Guan Eng berkata Muhyiddin harus memikul tanggungjawab terhadap kegagalan dasar kerajaan yang memusnahkan kehidupan ramai rakyat Malaysia.
PETALING JAYA:
Kira-kira 20% daripada kumpulan isi rumah M40 telah turun kepada kategori B40 dan kerajaan pimpinan Perikatan Nasional (PN) harus dipersalahkan, kata Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Memetik “kehancuran ekonomi” yang didedahkan dalam Laporan Anggaran Pendapatan Isi Rumah dan Insiden Kemiskinan Malaysia 2020 oleh Jabatan Perangkaan, bekas menteri kewangan itu berkata semuanya disebabkan oleh kegagalan dasar kerajaan dalam melawan pandemik Covid-19.

“Kira-kira 20% kumpulan isi rumah M40 dengan pendapatan antara RM4,850 dan RM10,959, telah turun kepada kategori kumpulan B40.

“Kumpulan isi rumah T20 juga terjejas apabila 12.8% daripadanya turun kepada kategori kumpulan M40,” katanya dalam satu kenyataan.

Lim berkata laporan turut mendedahkan jumlah isi rumah miskin meningkat kepada 639,800 tahun lalu daripada 405,400 pada 2019.

“Insiden miskin mutlak juga meningkat daripada 5.6% pada 2019 kepada 8.4% pada 2020,” katanya yang menambah insiden miskin tegar dianggarkan meningkat daripada 0.4% (2019) membabitkan 27,200 isi rumah kepada 1% dengan 78,000 isi rumah.

“Angka yang menyedihkan ini menunjukkan dasar kerajaan mengenai Covid-19 gagal. Namun, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin masih mahu terus menipu rakyat bahawa beliau mempunyai pelan untuk memulihkan ekonomi walaupun tidak ada hasil dalam tempoh 18 bulan lalu.”

Lim yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, krisis itu diburukkan lagi oleh dakwaan Muhyiddin kepada Agong bahawa beliau masih mempunyai sokongan majoriti daripada Ahli Parlimen walaupun secara jelasnya terdapat sekurang-kurangnya 13 Ahli Parlimen daripada Umno yang menarik sokongan kepadanya.

“Kerajaan PN yang gagal ini harus disingkirkan kerana gagal menangani Covid-19 dan krisis ekonomi. Adalah salah untuk perdana menteri mengatakan bahawa perubahan terhadap kerajaan pada masa ini akan menjejaskan negara.

“Walaupun Darurat dan beberapa siri Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, pandemik semakin buruk apabila jangkitan harian mencatat rekod 20,889 kes pada 6 Ogos dan 257 kematian pada 4 Ogos.”

Lim berkata jumlah kumulatif kes kini mencecah 1,224,595 dengan kematian keseluruhan sebanyak 10,177 sehingga sekarang dan Muhyiddin harus memikul tanggungjawab atas kegagalan yang memusnahkan kehidupan ramai rakyat Malaysia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.