
Menteri Pertanian dan Perikanan Sabah itu berkata, kerajaan negeri juga akan menjalankan kajian lanjutan mengenai keadaan ekonomi di Sabah, terutama situasi semasa industri perniagaan.
“Kerajaan ambil perhatian terhadap maklum balas peniaga, terutama daripada industri makanan laut, terhadap pelaksanaan SST. Kerajaan juga memahami kebimbangan mereka, tidak adil memberikan tekanan tambahan kepada sektor swasta ketika ini.
“Justeru, kementerian membincangkan keadaan ini dengan Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangan Sabah, Hajiji Noor dan memutuskan kerajaan tidak dapat membatalkan cukai tersebut, sebaliknya ditangguh buat sementara waktu sehingga ke satu tarikh yang akan diumumkan kelak,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berharap penangguhan SST terhadap industri eksport makanan laut akan memberi kelegaan kepada pemain industri.
“Kerajaan akan sentiasa menyokong sektor swasta kerana sektor ini merupakan tulang belakang ekonomi Sabah dan penyumbang terbesar dalam menawarkan peluang pekerjaan di negeri ini.”