Keluarga pelajar akan fail saman balas RM5 juta terhadap guru didakwa buat jenaka rogol

Keluarga pelajar akan fail saman balas RM5 juta terhadap guru didakwa buat jenaka rogol

Membalas saman RM1 juta guru itu, bapa Ain Husniza Saiful NIzam berkata, keluarganya menuntut pampasan kerana 'sengaja menimbulkan tekanan emosi'.

Dalam jawapan terhadap saman RM1 juta difailkan guru terbabit, mereka akan bergantung kepada pembelaan komen adil, perlindungan bersyarat dan semua pembelaan lain dalam Akta Fitnah 1957.
PETALING JAYA:
Ibu bapa seorang pelajar yang disaman gurunya selepas beliau mendedahkan gurauan rogol dibuat lelaki itu, memutuskan akan memfailkan saman balas RM5 juta kerana “sengaja menimbulkan tekanan emosi dengan menghina maruahnya”.

Dalam jawapan terhadap surat tuntutan RM1 juta guru terbabit kepada keluarga itu, mereka menolak semua dakwaan dan berkata mereka akan bergantung kepada pembelaan komen adil, perlindungan bersyarat dan semua pembelaan lain dalam Akta Fitnah 1957.

Bapa Ain Husniza Saiful NIzam ketika dihubungi mengesahkan tuntutan balas itu dan berkata, anak perempuannya sedang mengalami trauma disebabkan isu berkenaan.

Saiful Nizam Ab Wahab berkata, beliau sudah mengarahkan peguamnya, SN Nair memfailkan saman sivil atas tindakan sengaja menimbulkan tekanan emosi dan akan menuntut pampasan RM5 juta.

“Kami sudah membalas saman RM1 jutanya yang akan mencabarnya. Sepucuk surat tuntutan rasmi untuk pampasan RM5 juta akan menyusul,” katanya kepada FMT.

Isnin lalu, peguam yang mewakili guru terbabit menghantar notis tuntutan yang dialamatkan kepada Ain, Saiful dan ibunya, Norshaniza Sharifudin.

Pelajar Tingkatan 5 itu menjadi tumpuan di media sosial Mei lalu selepas memuat naik video di TikTok memetik guru sekolahnya di Selangor berkata: “Jika kamu (pelajar) mahu merogol, jangan rogol seseorang bawah 18 tahun. Rogol orang melebihi 18 tahun.”

Beliau turut mendakwa menerima ugutan rogol daripada seorang pelajar lelaki sekolahnya.

Selasa lalu, Ain memaklumkan dirinya menerima surat tuntutan RM1 juta daripada guru itu atas “pernyataan fitnah”.

“Dalam surat ini Ain diberi tujuh hari untuk semua tuntutan ini, antaranya membayar RM1,000,000 dalam ganti rugi. Semua doakan urusan Ain dipermudahkan,” katanya kelmarin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.