Ahli Parlimen patut akur keputusan parti, kata Umno Perak

Ahli Parlimen patut akur keputusan parti, kata Umno Perak

Ketua Penerangan Umno Perak, Zolkafly Harun berkata, jika ada perkara yang tidak kena, Ahli Parlimen khususnya dari Perak perlu kerap berbincang dengan kepimpinan parti.

Zolkafly Harun berkata, Ahli Parlimen dari Perak sepatutnya akur kepada ketetapan parti untuk menarik sokongan kepada Muhyiddin Yassin dan kerajaan PN. (Gambar Facebook)
IPOH:
Umno Perak meminta Ahli Parlimen dari negeri itu yang didakwa menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin hari ini supaya akur kepada keputusan parti sebelum ini.

Ketua Penerangannya, Zolkafly Harun berkata, ketetapan sudah dibuat oleh pucuk pimpinan parti di peringkat negeri dan pusat, oleh itu sebagai Ahli Parlimen Umno, mereka perlu menghormati keputusan itu.

“Jika ada yang tidak kena, sebaiknya perlu kerapkan perbincangan (dengan kepimpinan) sebelum membuat apa-apa ketetapan,” katanya kepada FMT.

Zolkafly yang juga Ketua Umno Bahagian Sungai Siput berkata, Umno bahagian itu menyokong penuh ketetapan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, susulan keputusan Majlis Kerja Tertinggi 3 Julai lalu yang mendesak Ahli Parlimennya akur dan mematuhi ketetapan parti supaya dengan segera menarik sokongan kepada Muhyiddin dan kerajaan Perikatan Nasional.

Mengenai tindakan yang akan dikenakan terhadap Timbalan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob yang juga Naib Presiden Umno kerana dilihat bertindak bertentangan arahan parti, beliau meminta perkara itu akan diputuskan pihak sepatutnya.

“Perkara itu saya tak mahu ulas, cuma saya berharap akan ada titik pertemuan terbaik daripada Ahli Parlimen Umno nanti berhubung tindakan yang dilakukan mereka,” katanya.

Terdahulu, empat Ahli Parlimen dari Perak adalah antara 19 Ahli Parlimen Barisan Nasional yang menyokong kerajaan PN tampil di hadapan media hari ini menerusi sidang media yang diadakan di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Mereka adalah Ahli Parlimen Pasir Salak yang juga bekas pengarah Pilihan Raya Umno,Tajuddin Abdul Rahman; Ahli Parlimen Padang Rengas, Nazri Aziz; Ahli Parlimen Kuala Kangsar yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mastura Mohd Yazid dan Ahli Parlimen Tapah yang juga Menteri Sumber Manusia dan Timbalan Presiden MIC, M Saravanan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.