Nhaveen bagaikan adik saya, kata saksi utama kes bunuh

Nhaveen bagaikan adik saya, kata saksi utama kes bunuh

Mahkamah diberitahu, T Nhaveen dibuli sejak berada di sekolah rendah.

Tertuduh kes bunuh T Nhaveen dibawa keluar dari Mahkamah Tinggi George Town, hari ini.
GEORGE TOWN:
Saksi utama perbicaraan kes bunuh T Nhaveen memberitahu Mahkamah Tinggi, sahabatnya itu kerap dibuli sejak berusia 15 tahun oleh empat tertuduh yang didakwa membunuhnya.

T Previin, 23, yang berusia setahun tua daripada Nhaveen dan mengenalinya sejak sekolah rendah berkata, sahabatnya itu dibuli sejak Darjah Empat ketika mereka berdua murid di SK Bukit Gambir.

Katanya, ketika di sekolah rendah lagi Nhaveen kerap datang kepadanya untuk bantuan dan perlindungan.

Bagaimanapun, dua rakan itu tidak lagi di sekolah sama ketika memasuki peringkat menengah, tetapi Previin tetap mendengar mengenai pembulian Nhaveen di SMK Datuk Hj Mohamed Nor di Gelugor.

Katanya, seorang daripada tertuduh, Ragesuthan kerap memukul dan menendang Nhaveen tanpa sebab.

T Nhaveen.

Ketika di luar sekolah pula, tiga lagi tertuduh iaitu Gokulan dan dua pesalah juvana dari SMK Hamid Khan akan membuli Nhaveen bersama Ragesuthan.

“Saya tidak tahu pembuliannya semakin serius. Nhaveen kerap menceritakan Ragesuthan sering membulinya sejak Tingkatan Tiga.

“Saya rasa mereka menyerang Nhaveen kerana dia tidak melawan. Saya menasihatinya supaya berani (jika mereka menyerang,” katanya menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Amril Johari.

Previin turut menceritakan hubungannya yang akrab dengan keluarga Nhaveen, malah ibu sahabatnya itu menggelarnya “mudhal payyan (anak sulung dalam bahasa Tamil).

“Kami memang seperti adik-beradik, banyak benda dikongsikan bersama. Kami ibarat keluarga. Dia rasa selamat dengan saya,” katanya.

Terdahulu, sebelum perbicaraan bermula, Pengarah Pendakwaan Pulau Pinang Khairul Anuar Abdul Halim memohon mahkamah menyingkirkan peguam pemerhati, Arun Ganesh Boopalan daripada prosiding berkenaan.

Katanya, ini disebabkan peguam itu dan dua lagi rakan dari firma guaman sama mungkin akan dipanggil sebagai saksi kerana mewakili aktivis Arun Dorasamy.

Arun Dorasamy telah membuat laporan polis berhubung perbicaraan yang sedang berlangsung itu dengan bantuan peguam-peguamnya. Susulan itu, katanya, pihak pendakwaan perlu meneliti kenyataannya.

“Kami tidak dapat memulakan kes sehingga melihat kenyataan Arun Dorasamy kepada polis. Kenyataan baharu itu mungkin memberi kesan terhadap arah tuju kes pendakwaan.

“Sekiranya Arun Ganesh ada di mahkamah beliau mungkin memaklumkan apa yang berlaku dalam prosiding kepada Arun Dorasamy. Disebabkan itu kami melihat kemungkinan berlaku konflik kepentingan dan beliau patut disingkirkan,” katanya.

Arun Ganesh bagaimanapun berkata, beliau hadir di mahkamah bagi pihak ibu Nhaveen, Shanti Dorairaj dan bukannya aktivis berkenaan.

Pesuruhjaya Kehakiman Mohd Radzi Abdul Hamid menolak hujahan pendakwaan itu kerana tidak menganggap peguam berkenaan mampu mengancam pendakwaan.

Katanya, beliau akan membenarkan permohonan itu jika pendakwaan mampu membuktikan dakwaannya. Beliau kemudian mengarahkan kes itu diteruskan.

Perbicaraan bersambung esok.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.