
Ketika membantah permohonan habeas corpus yang dikemukakan oleh pemuzik Mohmmadhossein Samadi untuk pembebasannya, Peguam Kanan Persekutuan Mohd Suhairy Zakaria berkata, Ketua Pengarah Imigresen mengambil langkah itu setelah warga Iran berkenaan didapati bersalah kerana memandu di bawah pengaruh alkohol.
Mohmmadhossein mengaku bersalah atas tuduhan tersebut di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada 26 Mac dan dipenjara dua hari serta didenda RM10,000.
Dia ditangkap setelah selesai menjalani hukuman penjara dan ditahan di pusat tahanan Imigresen.
“Setelah disabitkan kesalahan, dia termasuk dalam kategori ‘pendatang terlarang’,” kata Suhairy kepada hakim perbicaraan Mohd Yazid Mustafa.
Yazid bertanya kepada Suhairy sama ada kesalahan lalu lintas dianggap sebagai “sabitan” seperti kesalahan jenayah lain, sebagaimana yang dinyatakan dalam Akta Imigresen.
Suhairy menjawab: “Bawah Seksyen 8 (Akta Imigresen), mana-mana warga asing yang telah disabitkan kesalahan oleh mahkamah kita dianggap Ketua Pengarah sebagai ‘pendatang yang tidak diingini’.”
Peguam Mohmmadhossein, Alex Anton Netto, memberitahu mahkamah bahawa pihak berkuasa Imigresen tidak mematuhi undang-undang ketika membuat tangkapan.
“Ketika ditahan Imigresen, dia masih memiliki pas yang sah dan pasport yang hanya akan tamat pada 2025,” katanya.
“Kenapa Imigresen perlu tergesa-gesa untuk menangkapnya, sejurus selepas dia selesai hukuman penjara kerana memandu di bawah pengaruh alkohol? Dia mempunyai keluarga dan dua anak di sini.”
Netto berkata, undang-undang mewajibkan Jabatan Imigresen membatalkan pas Mohmmadhossein terlebih dahulu sebelum mengusirnya.
“Imigresen tidak berbuat demikian sebelum menangkapnya. Perintah untuk membatalkan pasnya hanya dikeluarkan pada 8 April,” kata peguam.
Yazid menetapkan 24 Ogos untuk membuat keputusan mengenai permohonan habeas corpus Mohmmadhossein.
Mohmmadhossein menamakan Ketua Pengarah Penjara dan Jabatan Imigresen selain Kementerian Dalam Negeri sebagai responden dalam permohonan yang difailkan pada 10 Mei itu.
Dalam afidavit sokongan, isterinya, Ginny Lim Su Lane, seorang warga tempatan berusia 36 tahun, berkata, penahanan itu melanggar Perlembagaan kerana Mohmmadhossein tidak dimaklumkan kenapa dia ditahan pihak Imigresen.
Kata Lim, beliau hanya mengetahui Jabatan Imigresen mahu mengusir suaminya pada 6 Mei, setelah dimaklumkan oleh seorang pegawai Imigresen bernama Nadia.