Idris Jusoh sokong Muhyiddin, PN untuk elak ‘mudarat lebih besar’

Idris Jusoh sokong Muhyiddin, PN untuk elak ‘mudarat lebih besar’

Ahli Parlimen Besut, Idris Jusoh berkata Umno harus mengakui sumbangan Muhyiddin kepada parti itu selama ini.

Idris Jusoh berkata, masa depan Umno akan menjadi lebih baik jika bersama dengan kerajaan sedia ada yang diterajui Bersatu.
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Besut, Idris Jusoh menyatakan pendiriannya untuk menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah pentadbiran Muhyiddin Yassin dan mahukan Umno turut berbuat demikian.

Beliau mahukan Umno mengakui sumbangan presiden Bersatu itu kepada Umno termasuk memberi pelbagai pengiktirafan dengan melantik ahli Umno sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kanan dalam kerajaan PN.

“Jangan kita nafikan Muhyiddin banyak membantu Umno. Dahulu di bawah PH (Pakatan Harapan), kita Umno adalah pembangkang. Sekarang kita berada bersama-sama dalam kerajaan.

“Pemimpin Umno diberi pengiktirafan sebagai TPM dan dilantik Menteri Kanan kerajaan. Kebolehan pemimpin Umno inilah menyebabkan ramai ahli Umno bersyukur dan turut sama dibantu oleh kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau yang juga pengerusi Felda turut menghargai Muhyiddin kerana meluluskan penghapusan hutang peneroka berjumlah RM8.3 bilion.

Dalam pada itu, Idris mendakwa Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berubah pendirian berhubung sokongan terhadap kerajaan PN dan Muhyiddin.

“Zahid pernah berkata, Ahli Parlimen Umno bebas membuat pilihan untuk menyokong siapa di Parlimen. Sekarang beliau mengarahkan kita perlu tarik sokongan kepada kerajaan dan Perdana Menteri. Keputusan beliau sentiasa berubah,” katanya.

“Sayangnya saya tidak nampak ‘game plan’ ke mana Presiden Umno hendak membawa kita pada ketika kesihatan rakyat masih diancam. Kita diarah menolak kerajaan sedia ada dan menolak kepimpinan Muhyiddin.

“Selepas itu ke mana kita? Adakah kita hendak kembali menjadi pembangkang? Membiarkan pemimpin bukan Melayu mentadbir agama Islam? Atau adakah kita hendak menyokong Anwar Ibrahim sebagaimana kita maklum akan ‘hubungan akrab’ kedua-duanya?,” soal beliau.

Justeru, beliau berpendapat masa depan Umno akan menjadi lebih baik jika bersama dengan kerajaan sedia ada yang diterajui Bersatu.

“Kerajaan ini tidak maksum, namun bagi mengelak mudarat yang lebih besar, ia adalah pilihan yang lebih baik,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.