
“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada seorang menteri yang tegas dalam prinsipnya dan mengundurkan diri. Ini jarang berlaku di negara kita,” kata Presiden PKR itu dalam rakaman video secara langsung menerusi Facebook.
Beliau berkata, tindakan terpuji Ahli Parlimen Lenggong itu jauh berbeza dengan kebanyakan mereka yang bermatian mempertahankan jawatan walaupun mengetahui hakikat sebenar keabsahan kerajaan Perikatan Nasional (PN).
“Ada orang yang ada jawatan, dia berhuyung-hayang pertahankan hidup mati dia walaupun semua tahu jumlah yang tolak Muhyiddin Yassin sudah minoriti.
“Tetapi tidak berani suarakan,” katanya lagi.
Malah Anwar turut kesal pemimpin yang “berpayung di bawah nama Islam” turut bersekongkol dengan kerajaan yang sudah hilang majoriti selepas lapan Ahli Parlimen Umno mengisytiharkan menarik sokongan terhadap kerajaan PN pada Selasa lalu.
“Tidak kira pakaian parti Melayu atau Islam semua bersekongkol. Semoga Allah pelihara kita dan jauhkan negara daripada kerosakan terus,” katanya.
Shamsul menjadi Menteri Umno pertama yang melepaskan jawatan dalam kerajaan Muhyiddin.
Peletakan jawatan beliau selaras dengan ketetapan Umno yang menarik sokongan terhadap kerajaan PN serta Muhyiddin.
Dijangka lebih ramai menteri Umno akan menuruti tindakan Shamsul selepas ini bagi menghormati keputusan parti.