Tak benar doktor swasta dilarang suntik vaksin, kata ProtectHealth

Tak benar doktor swasta dilarang suntik vaksin, kata ProtectHealth

ProtectHealth berkata, doktor swasta terus termasuk dalam PICK kerana penting bagi memastikan orang awam divaksin secara menyeluruh.

ProtectHealth berkata, semua PPV di Selangor dan Kuala Lumpur tidak lagi memberi suntikan dos pertama kerana proses vaksinasi dilakukan secara ‘walk-in’..
PETALING JAYA:
ProtectHealth Corporation menafikan telah membatalkan keputusan membenarkan penyertaan doktor swasta dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di Lembah Klang.

ProtectHealth berkata, doktor swasta terus termasuk dalam PICK kerana penting bagi memastikan orang awam divaksin secara menyeluruh.

“Lebih ramai doktor swasta akan direkrut di seluruh negara. Berkemungkinan akan ada dos ‘booster,’ pendaftaran baharu, golongan ‘antivax’ yang berubah hati, malah mereka yang berusia bawah 18 tahun apabila usia penerima vaksin diturunkan. Doktor swastalah akan menjadi benteng kekuatan kami,” katanya dalam kenyataan.

Syarikat itu menambah Pusat Pemberian Vaksin (PPV) juga lambat-laun akan ditutup seterusnya khidmat lebih ramai doktor swasta akan diperlukan.

Menurut ProtectHealth, Operasi Lonjakan Kapasiti di Kuala Lumpur dan Selangor telah dilengkapkan dengan sehingga 97% golongan dewasa menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19.

“Keputusan itu dibuat oleh Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) dan bakinya akan dilengkapkan secara ‘walk-in’.

“Jadi bukan saja doktor swasta, malah semua PPV kecuali yang telah dikhususkan untuk menguruskan bukan warganegara tidak akan terlibat dengan pemberian dos pertama di Selangor dan KL,” kata kenyataan itu.

Terdahulu, Dr Steven Chow, Presiden Persekutuan Persatuan Pengamal Perubatan Swasta (FPMPAM) berkata doktor swasta tidak lagi dibenarkan memberikan suntikan dos vaksin yang pertama, seterusnya mengakibatkan kesukaran untuk pesakit terutama warga emas yang terpaksa pergi ke PPV.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.