Pemuda PN kutuk 8 Ahli Parlimen Umno, pembangkang mahu gugat kestabilan politik

Pemuda PN kutuk 8 Ahli Parlimen Umno, pembangkang mahu gugat kestabilan politik

Sayap itu juga memuji ketegasan Muhyiddin tidak melayan ugutan pihak tertentu supaya mencampuri urusan mahkamah bagi membebaskan mereka yang sedang didakwa.

Pemuda PN yakin Muhyiddin Yassin mempunyai majoriti selesa untuk terus mentadbir kerajaan.
PETALING JAYA:
Pemuda Perikatan Nasional (PN) mengecam tindakan lapan Ahli Parlimen Umno dan pembangkang kerana cuba menganggu-gugat kestabilan politik ketika kerajaan dan petugas barisan hadapan bertungkus-lumus melawan wabak Covid-19.

Ketua Pemudanya, Khairil Nizam Khirudin, turut memuji ketegasan Muhyiddin tidak melayan ugutan pihak tertentu agar mencampuri urusan mahkamah bagi membebaskan mereka daripada pendakwaan.

“Pemuda Perikatan Nasional memuji ketegasan dan prinsip perdana menteri menghormati kedaulatan undang-undang dengan tidak melayan desakan supaya mencampuri urusan mahkamah untuk membebaskan beberapa individu yang sedang didakwa atas kesalahan jenayah,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, sayap itu juga akan berdiri teguh dan yakin Muhyiddin masih mempunyai majoriti selesa untuk terus mentadbir Putrajaya bagi membawa negara keluar daripada krisis Covid-19 melalui Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Terdahulu, Muhyiddin mendakwa, beliau masih mempunyai sokongan majoriti Ahli Parlimen dan bersedia menghadapi usul undi percaya terhadapnya di Dewan Rakyat, bulan depan.

Muhyiddin membuat pengumuman itu selepas memaklumkan kepada Yang di-Pertuan Agong pagi tadi bahawa beliau mempunyai sejumlah surat akuan daripada Ahli Parlimen “menyakinkan saya bahawa saya masih mempunyai kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat pada masa ini.”

Beliau berkata, makluman itu disampaikan selepas Agong memaklumkan semalam bahawa lapan Ahli Parlimen Umno menulis surat kepada Speaker Dewan Rakyat menyatakan mereka tidak lagi menyokong beliau sebagai perdana menteri.

Muhyiddin turut mendakwa beliau menerima tekanan daripada beberapa pihak agar mencampuri urusan mahkamah untuk membebaskan beberapa individu yang sedang didakwa atas kesalahan jenayah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.