
Siti Bainun Ahd Razali mengatakan dia tidak diberi hak untuk membuat permohonan itu ketika perintah dikeluarkan pada 16 Julai.
Peguamnya, Nur A’minahtul Mardiah Md Nor berkata,ibu kandung mereka menyerahkan semua lima anaknya berusia dua hingga 14 tahun kepada anak guamnya sebelum ini.
“Mahkamah menetapkan 14 Sept depan untuk pendengaran,” katanya selepas prosiding di Mahkamah Majistret hari ini.
A’minahtul berkata, mahkamah mengeluarkan beberapa perintah interim terhadap Bainun sementara menunggu pendengaran pada 14 Sept.
Ia termasuk akses untuk berhubung dengan anaknya menerusi panggilan video dan akses menyediakan keperluan untuk mereka yang memerlukan susu khas, ubat-ubatan dan lampin pakai buang.
Siti Bainun ditahan pada 16 Julai lalu bagi membantu siasatan kes dera membabitkan remaja Sindrom Down bernama Bella.
Polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan ketakutan kepada mangsa.
Semua kertas siasatan itu dilaporkan telah dihantar kepada Jabatan Peguam Negara.
Barisan peguamnya tetap mempertahankan bahawa Bella sama sekali tidak pernah dideranya.
Pihak berkuasa cuba untuk mendapatkan perintah tahanan reman terhadap Siti Bainun tetapi ia ditolak mahkamah.
Bella ditemui dengan kesan lecur pada dada, tangan, leher dan pahanya pada 6 Julai selepas didakwa menjadi mangsa penderaan di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju, yang digunakan sebagai rumah kebajikan.
Rumah kebajikan itu juga didapati beroperasi secara haram sejak 2019 dan tidak pernah berdaftar dengan JKM.
Bella diletakkan di bawah jagaan Taman Sinar Harapan Tuanku Ampuan Najihah, Seremban sejak 2011 sebelum dipindahkan ke rumah kebajikan dimiliki sebuah NGO dan dijadikan anak angkat pada 2020.