
“Melalui cara ini (usul percaya), kedudukan saya sebagai Perdana Menteri dan kerajaan Perikatan Nasional yang memerintah dapat ditentukan mengikut lunas undang-undang dan Perlembagaan,” katanya dalam perutusan khas.
Muhyiddin membuat pengumuman itu selepas memaklumkan Yang di-Pertuan Agong pagi tadi bahawa beliau mempunyai sejumlah surat akuan daripada Ahli Parlimen yang “menyakinkan saya bahawa saya masih mempunyai kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat pada masa ini.”
Beliau berkata, makluman itu disampaikan selepas Agong memberitahunya semalam bahawa lapan Ahli Parlimen Umno telah menulis surat kepada Speaker Dewan Rakyat, memakluman mereka tidak lagi menyokong beliau sebagai Perdana Menteri.
Susulan itu, Muhyiddin menghadap Agong pagi tadi untuk memaklumkan beliau masih mempunyai sokongan majoriti Ahli Parlimen, berdasarkan surat akuan sokongan yang diterima daripada mereka.
“(Justeru) peletakan jawatan saya adalah tidak berbangkit,” kata Muhyiddin.
“Namun, saya juga sedar bahawa kedudukan saya sebagai Perdana Menteri seringkali dipersoalkan.
“Maka, saya telah menyembah maklum kepada Agong bahawa saya akan menentukan keabsahan saya sebagai Perdana Menteri di Parlimen,” kata beliau.
Mesyuarat Penggal Keempat Parlimen ke-14 akan berlangsung selama 15 hari, mulai 6 September.
Terdahulu, Muhyiddin menghadap Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah di Istana Negara pagi tadi untuk pertemuan kira-kira sejam.
Semalam, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mendakwa kerajaan pimpinan Muhyiddin hilang majoriti apabila Ahli Parlimen Umno yang “angkanya mencukupi” menghantar surat akuan kepada Agong, menarik balik sokongan terhadap Muhyiddin.
Beliau mendesak Muhyiddin berundur segera.
Ahli Parlimen Lenggong, Shamsul Anuar Nasarah yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, meletak jawatan sebagai Menteri Tenaga dan Sumber Asli selaras dengan keputusan parti itu.