Kenapa doktor swasta tak boleh suntik vaksin, soal kumpulan perubatan

Kenapa doktor swasta tak boleh suntik vaksin, soal kumpulan perubatan

Doktor swasta tidak lagi boleh memberikan vaksin Covid-19 bagi Fasa 2 dan 3 PICK.

Doktor swasta yang telah menghabiskan masa, wang dan sumber untuk memberikan vaksin kini terkesan, kata kumpulan itu. (Gambar AP)
PETALING JAYA:
Satu kumpulan pengamal perubatan menggesa kerajaan menjelaskan tindakannya membatalkan kebenaran untuk doktor swasta turut serta dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di Lembah Klang.

Dr Steven Chow, Presiden Persekutuan Persatuan Pengamal Perubatan Swasta (FPMPAM) berkata doktor swasta tidak lagi dibenarkan memberikan suntikan dos vaksin yang pertama.

Katanya, ini mengakibatkan kesusahan untuk pesakit, terutama golongan warga emas yang terpaksa pergi ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) lebih besar seterusnya menunggu lama, yang meningkatkan risiko jangkitan.

“FPMPAM telah menerima laporan bahawa pesakit dari Shah Alam dihantar ke Dengkil, manakala ada yang dari Puchong pula ke Shah Alam.

“Semua ini sepatutnya boleh diselesaikan jika doktor swasta dibenarkan memberi suntikan vaksin.

“Doktor yang telah menghabiskan masa, wang dan sumber untuk menawarkan khidmat mereka kini terkesan. Mereka juga terpaksa menjawab kepada pesakit yang berang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mac lalu, kerajaan dilaporkan bersetuju membenarkan doktor swasta memberikan vaksin Covid-19 bagi Fasa 2 dan 3 PICK.

Menteri Kesihatan Dr Adham Baba ketika itu berkata ProtectHealth telah diperbadankan di bawah Kementerian Kesihatan (KKM) sebagai organisasi bukan berasaskan keuntungan pada 2016, dan berpengalaman berurusan dengan doktor swasta di bawah skim Peduli Kesihatan B40.

ProtectHealth sepatutnya bertanggungjawab mendaftarkan doktor swasta untuk PICK, menguruskan pembayaran, memberi latihan, menghasilkan manual serta memantau proses vaksinasi oleh doktor terlibat.

FMT telah menghubungi ProtectHealth untuk mengulas perkara itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.