Himpunan pembangkang: Giliran Syed Saddiq, Hannah Yeoh beri keterangan

Himpunan pembangkang: Giliran Syed Saddiq, Hannah Yeoh beri keterangan

Kedua-dua pemimpin pembangkang itu tiba dan memasuki Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada 2.35 petang tadi selepas bercakap kepada media.

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, tidak wajar bagi mereka disekat ke Parlimen berikutan Dewan Rakyat merupakan tempat untuk membahaskan isu-isu rakyat.
KUALA LUMPUR:
Selepas empat wakil rakyat pembangkang selesai memberi keterangan, giliran Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh dipanggil memberi keterangan kepada polis berhubung perhimpunan di Dataran Merdeka Isnin lalu.

Kedua-dua pemimpin pembangkang itu tiba dan memasuki Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada 2.35 petang tadi selepas bercakap kepada media.

Syed Saddiq yang juga Ahli Parlimen Muar berkata, tidak wajar mereka disekat ke Parlimen berikutan Dewan Rakyat merupakan tempat untuk membahaskan isu-isu rakyat.

Beliau juga menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah yang mahu isu-isu rakyat dibincangkan di Dewan Rakyat.

“Apabila kami ingin ke Parlimen kami disekat dan dihalang. Sebagai Ahli Parlimen yang bertanggungjawab dan dipilih rakyat, kami dibayar gaji oleh rakyat, kita perlu tunaikan tanggungjawab ke Parlimen,” katanya kepada media di hadapan IPD Dang Wangi.

Syed Saddiq berkata, sekiranya polis boleh menyiasat Ahli Parlimen pembangkang, pihak berkuasa itu juga wajar menyiasat menteri-menteri kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang bermesyuarat sehingga lewat malam di rumah Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Katanya, sikap hipokrit atau dua darjat dilihat berlaku kerana menteri-menteri PN sehingga kini tidak disiasat polis.

“Kami dipanggil oleh polis untuk menjalankan tanggungjawab untuk masuk ke Parlimen. Kalau tak ada sekatan tidak wujud pun masalah ini.

“Tetapi semalam, kereta Vellfire ulang-alik ke rumah perdana menteri boleh berjumpa sampai lewat malam dan tidak dipanggil polis pun,” katanya.

Sementara itu, Hannah Yeoh berkata Parlimen merupakan tempat kerja untuk Ahli Parlimen.

Beliau mempersoalkan kenapa tempat kerja lain dibenarkan dibuka tetapi tidak Parlimen.

Hannah juga menyatakan kekecewaannya kepada Speaker Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun yang tidak mempertahankan Ahli Parlimen pembangkang yang mahu ke Parlimen sehingga disiasat oleh polis.

“Saya kecewa dengan Speaker (Dewan Rakyat) tidak pertahankan kami yang mahu ke Parlimen.

“Sehingga sekarang pun, Speaker tidak pertahanan kami sehingga dipanggil siasat oleh polis,” katanya.

Hannah juga berkata kepada media, beliau ditanya 50 soalan hari ini dalam keterangan kepada polis.

Pagi tadi empat ahli Parlimen Pembangkang, Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng, Ahli Parlimen Simpang Renggam, Maszlee Malik, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil dan Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua telah dipanggil polis dan selesai memberi keterangan.

Kelmarin, 107 Ahli Parlimen pembangkang berkumpul di Dataran Merdeka untuk berarak ke Parlimen dalam bantahan mendesak Muhyiddin dan anggota Kabinet meletak jawatan.

Bagaimanapun, percubaan berarak ke Parlimen itu tidak berjaya kerana anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) menghalang laluan masuk ke Jalan Parlimen dari Dataran Merdeka.

Terdahulu, Ketua Polis Negara, Acryl Sani Abdullah Sani dilaporkan berkata, 206 laporan diterima di seluruh negara berhubung perhimpunan pada Isnin lalu dan satu kertas siasatan telah dibuka bagi semua laporan diterima, dengan individu terbabit akan dipanggil memberi keterangan untuk melengkapkan kertas siasatan.

Dalam perkembangan lain, Hannah juga mempersoalkan status laporan polis yang dibuat terhadap Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba serta menteri berkaitan yang didakwa cuai dan gagal sehingga menyebabkan kes Covid-19 dalam negara sukar dikawal pada 25 Julai lalu.

Katanya, sehingga kini menteri tersebut tidak dipanggil untuk disiasat polis sedangkan isu itu dirasakan lebih penting dan beri impak pada rakyat.

Pada 25 Julai lalu, tujuh Ahli Parlimen serta dua aktivis membuat laporan polis terhadap Adham serta menteri berkaitan yang dakwa mereka cuai dan gagal sehingga menyebabkan kes Covid-19 dalam negara sukar dikawal.

Mereka menuntut pihak polis untuk menjalankan siasatan terhadap kuasa eksekutif ini atas kecuaian mengendalikan kes Covid-19.

Laporan polis itu dibuat oleh Hannah dan Fahmi; Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii, Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mohd Azis Jamman, Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago; Ahli Parlimen Kota Belud, Isnaraissah Munirah Majilis dan Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah.

Sementara dua aktivis, Marina Mahathir dan Ambiga Sreenevasan, juga membuat laporan berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.