Aktivis #Lawan dakwa polis ke rumah ambil gambar, soal siasat ahli keluarga

Aktivis #Lawan dakwa polis ke rumah ambil gambar, soal siasat ahli keluarga

Sekretariat Solidariti Rakyat menggesa polis menghentikan intimidasi itu yang disifatkan sebagai pencerobohan privasi dan ugutan untuk rakyat berdiam diri serta patuh kepada kerajaan.

Pegawai polis berada di luar rumah Naib Presiden MUDA, Dr Thanussha Francis Xavier. (Gambar Twitter)
PETALING JAYA:
Penganjur himpunan #Lawan, Sekretariat Solidariti Rakyat (SSR) berkata, aktivis yang menyertai bantahan pada Sabtu lalu mendakwa ahli keluarga mereka menghadapi intimidasi daripada polis.

Katanya, polis pergi ke rumah aktivis, mengambil gambar dan menyoal siasat ahli keluarga mereka.

Kumpulan itu mengecam tindakan berkenaan yang disifatkan sebagai pencerobohan privasi dan satu bentuk ugutan untuk rakyat berdiam diri serta patuh kepada kerajaan yang didakwanya gagal.

“Tindakan anggota-anggota polis yang jelas dikerah oleh pihak atasan ke rumah aktivis, walhal setiap daripada mereka telah memberi kerjasama ketika dipanggil semasa soal siasat di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi sebelum ini,” katanya dalam kenyataan.

SSR menggesa polis menghentikan intimidasi yang menjurus kepada ugutan terhadap peserta himpunan #Lawan.

“SSR akan bersama melawan sebarang bentuk tekanan yang diberikan kepada rakyat yang hanya bersuara
menentang penindasan.”

Polis sebelum ini dilaporkan akan mengambil tindakan terhadap penganjur dan peserta himpunan #Lawan pada 31 Julai lalu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Mohamad Zainal Abdullah berkata, walaupun perhimpunan itu diadakan secara aman, tetapi ia melanggar larangan perintah kawalan pergerakan (PKP) kerana negara masih dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan tiada pihak dibenarkan berhimpun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.