Pharmaniaga terima permohonan maaf penyampai radio

Pharmaniaga terima permohonan maaf penyampai radio

Patrick Teoh membuat permohonan maaf itu berhubung dakwaan palsu terhadap syarikat itu menerusi catatan di Facebook pada 22 Julai lalu.

Penyampai radio Patrick Teoh mengaku tuduhan terhadap Pharmaniaga ‘tidak berasas’.
PETALING JAYA:
Pharmaniaga Bhd menerima permohonan maaf penyampai radio Patrick Teoh berhubung dakwaan palsu terhadap syarikat itu menerusi catatan di Facebook pada 22 Julai lalu.

Pharmaniaga berkata, dakwaan itu dibuat di akaun peribadi milik Teoh walaupun beliau mengetahui ia mengelirukan dan menimbulkan “penghinaan terhadap syarikat”.

Katanya, berdasarkan persetujuan, penyampai radio itu kemudiannya memadam catatan terbabit dan membuat permohonan maaf secara terbuka di akaunnya.

“Biarpun kami menghormati perbezaan pandangan, tetapi kami tidak bertolak ansur dengan fitnah dan tuduhan palsu,” katanya dalam satu kenyataan.

Syarikat itu berkata, ia mengekalkan tahap tadbir urus korporat dan ketelusan yang tinggi dalam semua urus niaganya dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap dakwaan yang menjejaskan integriti.

Dalam catatan bulan lalu, Teoh memberi maklum balas terhadap satu laporan berita yang mendedahkan bahawa Pharmaniaga akan menjual 14 juta dos vaksin Sinovac kepada negeri dan syarikat swasta yang berminat.

Penyampai radio itu mengakui catatan terbabit tidak mempunyai asas untuk membayangkan syarikat itu sebagai “tamak, jahil, tidak peka dan bersikap tidak peduli” terhadap isu-isu berkaitan pandemik Covid-19.

Dia juga menjelaskan bahawa Pharmaniaga tidak mendapat keuntungan daripada kerajaan daripada pembelian vaksin Sinovac atau terbabit dalam urus niaga tidak betul atau tidak mengikut undang-undang.

“Dengan ini saya meminta maaf kepada Pharmaniaga Bhd dan Pharmaniaga Life Sciences Sdn Bhd,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.