Sebar berita palsu polis mati akibat vaksin, bekas pengurus produksi mengaku tak salah

Sebar berita palsu polis mati akibat vaksin, bekas pengurus produksi mengaku tak salah

Muhammad Zaki Omar, 36, didakwa menyebarkan berita tidak benar berhubung kematian seorang anggota polis yang kononnya disebabkan suntikan vaksin Covid-19 April lalu.

Muhammad Zaki Omar, 36, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan hakim Rohaida Ishak.
PETALING JAYA:
Bekas pengurus produksi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar hari ini atas pertuduhan menyebarkan berita tidak benar berhubung kematian seorang anggota polis yang kononnya disebabkan suntikan vaksin Covid-19.

Tertuduh, Muhammad Zaki Omar, 36, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan hakim Rohaida Ishak.

Menurut laporan Harian Metro, Muhammad Zaki didakwa menggunakan akaun media sosial Facebook di bawah profil “Muhammad Zaki Omar” yang menyebabkan kebimbangan kepada orang awam dengan menyebarkan berita tidak benar pada 11.39 malam, 3 April lalu.

Perbuatan tertuduh dikesan di pejabat Ketua Polis Balai, Balai Polis Gerik di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik, jam 9 pagi keesokannya, iaitu pada 4 April lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 4(1) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No 2) 2021 yang memperuntukkan hukuman didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara hingga tiga tahun atau kedua-duanya selain dalam hal suatu kesalahan berterusan, tertuduh boleh didenda selanjutnya tidak melebihi RM1,000 bagi setiap hari selama kesalahan itu berterusan selepas sabitan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Fajrul Shihar Abu Samah dan Afiqa Liyana Rozman manakala tertuduh diwakili peguam Asiah Abd Jalil.

Pendakwaan memohon mahkamah menetapkan RM15,000 sebagai jaminan kepada tertuduh manakala Asiah memohon anak guamnya diberi jaminan yang rendah memandangkan Muhammad Zaki baharu sahaja diberhentikan kerja di sebuah syarikat kejuruteraan di Singapura disebabkan kes berkenaan.

Menurut Asiah, anak guamnya memberi kerjasama penuh dan menanggung sendiri semua kos termasuk perbelanjaan menjalani kuarantin sekembalinya dari Singapura untuk hadir ke mahkamah.

Mahkamah menetapkan jaminan RM10,000 dengan dua penjamin ke atas tertuduh dan mengenakan syarat pasport milik tertuduh ditahan hingga kes selesai.

Mahkamah juga menetapkan 1 September depan untuk sebutan semula kes.

Tertuduh membayar wang jaminan itu.

Sebelum ini, waran tangkap dikeluarkan terhadap tertuduh selepas gagal hadir untuk pendakwaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.