
Ini bagi memastikan tiada pengunjung luar yang datang semata-mata untuk mandi di sungai kampung itu yang terkenal sebagai kawasan perkelahan.
Wakil penduduk, Mohd Zairon Nizam Mohd Zaki, 42, berkata, tindakan itu diambil bagi memastikan tidak ada sesiapa yang bersikap sambil lewa dengan penularan virus maut itu.
“Berikutan penularan Covid-19 di sekitar kawasan ini, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) bersepakat membina pos kawalan itu bermula semalam.
“Kami akan tutup semua laluan masuk ke kampung. Ini demi keselamatan penduduk. Sebelum ini ada yang tidak mematuhi arahan dan datang ke sini untuk berkelah dan memancing.
“Kami pun hairan, ada yang datang dari luar Perak untuk memancing, bagaimana mereka boleh dibenarkan rentas negeri ketika perintah kawalan pergerakan (PKP),” katanya menurut laporan Harian Metro.
Menurutnya, kawalan itu hanya membabitkan jalan kampung dan bukannya jalan utama menuju ke Lenggong.
Zairon berkata, pengunjung dari luar perlu mengimbas suhu dan mendaftar butiran diri bagi tujuan pemantauan selain ia dilakukan bagi memastikan tidak ada orang luar terutama dari kawasan PKPD masuk ke kawasan itu.
“Kita harap dengan usaha dan ikhtiar ini dapat membantu penduduk kampung terhindar daripada Covid-19.
“Ia juga untuk memastikan penularan yang berterusan ketika ini dapat dihentikan. Semoga kita semua berjaya,” katanya.
Inisiatif berkenaan tular di media sosial selepas tindakan mereka menubuhkan pos kawalan di pintu masuk kampung itu mendapat pelbagai reaksi daripada netizen.