Nenek, cucu antara 3 ditahan edar dadah

Nenek, cucu antara 3 ditahan edar dadah

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Melaka Zulkiflee Rashid berkata polis turut merampas kira-kira 3kg dadah jenis heroin dan syabu bernilai RM85,000 daripada suspek.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Melaka, Zulkiflee Rashid berkata, dadah yang dirampas dipercayai untuk kegunaan penagih sekitar negeri Melaka dan suspek dipercayai aktif kira-kira tiga bulan lalu. (Gambar PDRM)
PETALING JAYA:
Nenek dan cucu antara tiga individu ditahan polis selepas dipercayai terbabit sindiket pengedaran dadah dalam dua serbuan berasingan di Taman Seri Bayu, Alor Gajah, Khamis lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Melaka, Zulkiflee Rashid berkata, serbuan 6 pagi hingga 6.45 pagi itu dilakukan sepasukan anggota Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Alor Gajah.

Beliau berkata, semua yang ditahan berusia antara 21 hingga 65 tahun selain turut merampas dadah seberat hampir 3kg.

“Dalam serbuan pertama pada 6 pagi polis menahan seorang lelaki berusia 31 tahun dan merampas enam paket plastik lutsinar dipercayai heroin dianggarkan lebih 500g dan 18 paket dadah disyaki syabu lebih 2kg.

“Semua dadah itu yang beratnya hampir 3kg dianggarkan bernilai RM86,000 dan ia dipercayai boleh digunakan oleh 6,200 penagih,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Zulkiflee berkata, susulan itu pihaknya kemudian ke sebuah lagi rumah di taman sama pada 6.45 pagi dan menahan dua lagi suspek.

Katanya, di lokasi kedua, polis menahan seorang lelaki berusia 21 tahun dan neneknya berusia 65 tahun dipercayai mempunyai kaitan dengan suspek pertama.

“Dadah yang dirampas itu dipercayai untuk kegunaan penagih sekitar negeri ini dan suspek dipercayai aktif kira-kira tiga bulan lalu.

“Semakan lanjut dijalankan mendapati, semua suspek lelaki mempunyai rekod lampau bersabit dadah dan jenayah manakala warga emas itu pula terdapat dua rekod dadah.

“Ujian saringan awal air kencing dilakukan juga mendapati suspek pertama positif dadah jenis methamphetamine,” katanya.

Beliau berkata, tindakan turut diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Perlucutan Harta) 1988 terhadap kesemua suspek dengan nilai sitaan berjumlah lebih RM24,782 membabitkan motosikal, motokar serta barangan kemas.

“Semua suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 5 Ogos ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.