MKT Umno adakan mesyuarat ‘jangan rakam, jangan sebar’ esok

MKT Umno adakan mesyuarat ‘jangan rakam, jangan sebar’ esok

Pimpinan Umno mengambil langkah awal bagi mengelakkan urusan dalamannya dibocorkan kepada pihak luar.

Majlis Kerja Tertinggi Umno dikatakan akan mengadakan mesyuarat secara maya esok.
PETALING JAYA:
Majlis Kerja Tertinggi Umno akan mengadakan mesyuarat khas secara maya petang esok, susulan perkembangan politik terkini yang dikatakan “sangat penting”.

Pimpinan parti Melayu itu juga mengambil langkah awal bagi mengelakkan urusan dalamannya dibocorkan kepada pihak luar dengan Setiausaha Agung Ahmad Maslan memberi amaran “jangan ada sesiapa yang merakam atau menyebarkan isi kandungan mesyuarat”.

“Jangan ada yang berniat jahat, kotor dan tidak beretika melanggar sumpah atas nama Allah yang telah dilafazkan,” katanya dalam makluman yang dilihat FMT.

Makluman itu disampaikan atas arahan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, kata Ahmad.

Tidak dapat dipastikan apakah agenda mesyuarat esok, namun negara menyaksikan tunjuk perasaan aman diadakan di ibu negara kelmarin dan hari ini yang mendesak Perdana Menteri Muhyiddin Yassin meletak jawatan.

Perkembangan ini di sebalik dakwaan bahawa 30 Ahli Parlimen Barisan Nasional “difahamkan” telah menandatangani surat akuan menyokong Muhyiddin untuk kekal sebagai perdana menteri, menurut laporan Sinar Harian.

Bagaimanapun, dakwaan laporan itu belum dapat disahkan. Tindakan segelintir ahli Umno yang dilaporkan menarik balik sokongan terhadap Muhyiddin sebelum ini terus menimbulkan kegusaran mengenai keabsahaan kedudukan beliau sebagai perdana menteri.

MKT Umno bulan lepas mengumumkan menarik balik sokongan terhadap Muhyiddin, namun terus menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) serta membenarkan Ahli Parlimennya menggunakan budi bicara sendiri untuk mengundi sebarang usul pada sidang Parlimen.

Selepas keputusan itu diumumkan, media melaporkan mengenai satu rakaman audio didakwa sedutan mesyuarat MKT yang mana suara dikatakan mirip Zahid berkata, Ahli Parlimen diberi kebebasan untuk mengundi di Parlimen mengikut budi bicara mereka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.