
Beliau yang juga jurucakap negeri berkaitan Covid-19 berkata, vaksin akan dibekalkan nanti diharap diterima mengikut jadual supaya program vaksinasi kepada penduduk berjalan lancar.
“Bekalan vaksin yang banyak bagi Sabah hanya diterima dalam tempoh 10 hari terakhir bulan Julai.
“Dari 21 hingga 31 Julai kita berjaya memberi 374,214 dos vaksin manakala pencapaian harian tertinggi ialah 48,300 dos, iaitu pada 31 Julai.
“Kita amat berharap bekalan vaksin terus diterima mengikut jadual bagi Ogos dan kita juga harap memperoleh lebih banyak (vaksin) berbanding Julai, iaitu kira-kira 1.08 juta,” katanya ketika dihubungi.
Terdahulu, Masidi berkata, setakat semalam, sebanyak 67,164 penduduk Sabah sudah menerima sekurang-kurangnya dos pertama vaksin bagi fasa pertama program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
Katanya, bagi fasa kedua pula, seramai 797,180 orang telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.
“Semalam juga, pendaftaran penerima vaksin ialah seramai 19,014 menjadikan jumlah kumulatif yang mendaftar seramai kira-kira 1.18 juta orang,” katanya.