Laporan percanggahan audit babit RM4.5 bilion ‘tidak tepat’, kata Serba Dinamik

Laporan percanggahan audit babit RM4.5 bilion ‘tidak tepat’, kata Serba Dinamik

Isu dibangkitkan firma audit berkenaan 'remeh', kata Ketua Pegawai Eksekutif Serba Dinamik Mohd Abdul Karim Abdullah.

Pada 12 April, lembaga Serba Dinamik tidak dapat meluluskan akaun 2020 syarikat setelah KPMG menolak untuk menyelesaikan audit bebasnya sehingga isu yang dibangkitkan ditangani.
PETALING JAYA:
Dakwaan percanggahan audit membabitkan RM4.54 bilion dalam transaksi Serba Dinamik tidak tepat, kata ketua pegawai eksekutifnya.

Angka itu muncul dalam banyak laporan mengenai pertikaian undang-undang syarikat minyak dan gas itu dengan bekas juruaudit luarnya, KPMG, yang didakwanya menimbulkan beberapa masalah remeh yang telah dijawab.

Dalam temu bual dengan FMT, Mohd Abdul Karim Abdullah berkata, beliau mahu menjelaskan hal sebenar mengenai isu audit syarikat berkenaan yang timbul baru-baru ini.

“Semua orang salah membaca maklumat, RM4.54 bilion terdiri daripada item yang tidak sepatutnya dijumlahkan bersama. Anda tidak boleh menjumlahkan kos dengan hasil, seperti mana angka tersebut diperolehi. Ini bertentangan dengan kecelikan kewangan.

“Mungkin orang sengaja cuba sabotaj kami dengan membesar-besarkan jumlahnya,” katanya.

Pada 12 April, lembaga Serba Dinamik tidak dapat meluluskan akaun 2020 syarikat setelah KPMG menolak untuk menyelesaikan audit bebasnya sehingga isu yang dibangkitkan ditangani.

Bagaimanapun, Karim berkata, walaupun pihak pengurusan telah menjawab pertanyaan KPMG, firma itu enggan meneruskan auditnya.

“Antara isu yang dibangkitkan ke lembaga adalah masalah audit ‘remeh’ yang pihak pengurusan kami telah jawab,” katanya.

Isu-isu ini termasuk ketidakupayaan mengesahkan dokumen kerana juruaudit pergi ke alamat yang salah dan kegagalan penyambut tetamu mengesahkan kewujudan seorang kakitangan.

Karim berkata, syarikat-syarikat besar mempunyai ribuan kakitangan dan penyambut tetamu mungkin tidak mengenali semua orang. Pemeriksaan berikutnya oleh Serba Dinamik mengesahkan butiran kakitangan berkenaan.

“Contoh-contoh lain, juruaudit menggunakan aplikasi TrueCaller untuk mengesahkan butiran hubungan pelanggan dan menimbulkan isu atas penggunaan singkatan seperti LLC berbanding L.L.C,” katanya.

Walaupun segala kebimbangan ini telah dijawab, Karim berkata, Serba Dinamik masih dilaporkan kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, mengakibatkan penangguhan perdagangan sahamnya dan kerugian RM3 bilion dalam permodalan pasaran.

“Ini merisikokan syarikat, pelabur institusi, pemegang saham biasa dan 7,000 kakitangannya,” katanya.

Terdahulu, Serba Dinamik mengemukakan tuntutan undang-undang ke atas KPMG pada 22 Jun dengan mendakwa bahawa firma audit berkenaan “secara cuai” menimbulkan beberapa isu.

Pada 24 Jun, Serba Dinamik mengumumkan bahawa KPMG telah meletak jawatan sebagai juruauditnya. Ernst & Young Consulting Sdn Bhd (EY) kemudian dilantik sebagai penilai bebas khasnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.