‘Kita hampiri kemuncak jangkitan Covid-19’, kata KJ

‘Kita hampiri kemuncak jangkitan Covid-19’, kata KJ

Khairy Jamaluddin berharap selepas tempoh itu ia akan mula menunjukkan penurunan kes harian baharu.

Khairy Jamaluddin berkata, pihaknya juga akan mendapatkan data terperinci mengenai keberkesanan vaksin Covid-19 dalam mengurangkan pesakit kategori 4 dan 5. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Negara khususnya kawasan Lembah Klang sedang menuju kemuncak kes positif harian Covid-19 dalam tempoh sekurang-kurangnya seminggu ini, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata, selepas tempoh itu pihaknya berharap ia akan mula menunjukkan penurunan kes harian baharu.

“Saya rasa kita sudah hampir kemuncak mungkin dalam seminggu atau lebih dan kita harap ia akan menurun selepas itu,” katanya yang juga Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dalam sidang media mingguan.

Ditanya mengenai keberkesanan vaksin Covid-19 dalam mengurangkan pesakit kategori 4 dan 5, Khairy berkata, pihaknya akan mendapatkan data terperinci mengenai pesakit yang dikesan ketika ini.

Katanya, bagaimanapun berdasarkan kepada data sedia ada, trend menunjukkan biarpun ada individu yang sudah mendapat vaksin yang kini berada dalam kategori 4 dan 5, peratusannya sangat rendah berbanding mereka yang belum menerima sebarang dos vaksin Covid-19.

“Sebagai contoh, kita lihat jumlah kes harian pada 1 Ogos, seramai 106 pesakit adalah dalam kategori 5, 96 daripada mereka belum menerima vaksinasi manakala 10 mempunyai sejarah pelalian.

“Bagi kategori 4, 47 daripada 65 pesakit belum divaksinasi manakala 18 sudah menerima vaksin. Trend sama boleh dilihat pada kategori lain juga,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Khairy berkata, kerajaan mengambil pendekatan berhati-hati dalam memperuntukkan sebarang kelonggaran kepada individu yang sudah mendapat suntikan imunisasi lengkap.

Katanya, percaturan itu diambil susulan penularan varian membimbangkan (VOC), termasuk varian Delta di beberapa negara jiran seperti Singapura.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.