Gerakan buruh ratapi kematian tokoh penting akibat Covid-19

Gerakan buruh ratapi kematian tokoh penting akibat Covid-19

Badrulzaman Mohd Ghazali memainkan peranan berpengaruh dalam memperjuangkan hak pekerja dan menuntut pembaharuan undang-undang buruh.

Badrulzaman Mohd Ghazali memegang plakad untuk pembaharuan undang-undang buruh. (Gambar Muhammad Zulfadlee Thye)
PETALING JAYA:
Ahli kesatuan sekerja meratapi kehilangan seorang tokoh penting, susulan kematian Badrulzaman Mohd Ghazali akibat Covid-19 hari ini.

Badrulzaman, 49, meninggal dunia 1 tengah hari tadi. Beliau dimasukkan ke hospital Jumaat lalu selepas mengalami kesukaran bernafas.

Terkenal dengan sikap rendah dirinya, anak jati Tanjung Karang itu ialah ahli gerakan buruh yang memainkan peranan berpengaruh dalam memperjuangkan hak pekerja dan menuntut pembaharuan undang-undang buruh.

Badrulzaman ialah pegawai perhubungan perusahaan Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Perusahaan Alat-alat Pengangkutan dan Sekutu, serta juruteknik pesawat selama 16 tahun.

Badrulzaman Mohd Ghazali (tiga dari kanan) menyertai satu perhimpunan di Jakarta pada 2018. (Gambar Facebook Badrulzaman Mohd Ghazali)

Muhammad Zulfadlee Thye, yang mengenali Badrulzaman lebih 20 tahun, berkata lelaki itu sedia membantu sesiapa sahaja yang memerlukan.

“Beliau tidak memilih orang untuk dibantu. Beliau ialah seseorang yang akan membantu sesiapa sahaja. Walaupun anda hubunginya pada tengah malam untuk beritahu ada pekerja menghadapi masalah, beliau akan ke sana,” kata Zulfadlee, pengamal perhubungan perusahaan dengan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC).

Timbalan Presiden MTUC, Mohd Effendy Abdul Ghani menyifatkan Badrulzaman sebagai “orang di belakang tabir” dan penyokong kuat gerakan buruh.

“Beliau sangat berharga buat kami. Beliau sering mempunyai pendapat sendiri dan tegas dalam keputusannya,” katanya sambil menambah mereka berdua menyertai gerakan buruh 20 tahun lalu.

“Ini adalah kehilangan besar buat gerakan kesatuan buruh dalam negara.”

Notis pemergian Badrulzaman Mohd Ghazali yang dimuat naik di media sosial hari ini.

Pengarah Inisiatif Utara-Selatan, Adrian Pereira menyifatkan Badrulzaman sebagai individu yang akan berusaha sedaya upaya untuk membantu sesiapa sahaja.

Badrulzaman pernah menjadi pegawai pusat sumber migran MTUC-Pertubuhan Buruh Antarabangsa di Lembah Klang. Beliau antara beberapa ahli kesatuan sekerja yang mengetahui masalah buruh migran.

“Perspektif dan pandangan dunianya adalah beliau tidak mendiskriminasi. Beliau memberi inspirasi kepada saya kerana apabila kami memerlukan bantuan untuk latihan atau mesyuarat pekerja migran, beliau sentiasa ada.”

Presiden Kesatuan Kebangsaan Anak Kapal Kabin Penerbangan Malaysia, Ismail Nasaruddin mengimbau beberapa perjalanan beliau bersama Badrulzaman ke Putrajaya untuk menyuarakan kebimbangan mereka berhubung masalah pekerja kepada pemimpin negara.

“Beliau ialah seseorang yang selalu bersuara lantang mengenai masalah sedemikian. Itu adalah sikapnya – untuk bersuara dan mendapatkan keadilan bagi pekerja.”

Badrulzaman meninggalkan seorang isteri dan tiga anak. Jenazahnya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Selasih di Gombak esok.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.