Persatuan Farmasi bantah Pharma2u di MySejahtera

Persatuan Farmasi bantah Pharma2u di MySejahtera

Pharma2u bukan syarikat farmasi berdaftar kerana hanya premis farmasi berlesen atau diluluskan MDA dibenar menjual kit ujian kendiri Covid-19.

Presiden Persatuan Farmasi Malaysia Amrahi Buang berkata penyenaraian Pharma2u sebagai keterlaluan, selain berbentuk penindasan.
PETALING JAYA:
Persatuan Farmasi Malaysia membantah kewujudan Pharma2u, platform e-dagang dalam aplikasi MySejahtera, bertujuan membeli kit ujian kendiri Covid-19 secara terus, sejak 29 Julai lalu.

Presidennya, Amrahi Buang, berkata pihaknya kecewa dengan tindakan itu kerana ia jelas bertentangan dengan Klausa 3.2 dan Klausa 5(b) dalam Garis Panduan Pengurusan Covid-19, yang mana hanya premis farmasi berlesen atau diluluskan Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) dibenarkan menjual kit ujian berkenaan.

Katanya, Pharma2u bukan sebuah syarikat di bawah kawalan dan pengurusan farmasi berdaftar, malah penggunaan nama Pharma juga jelas melanggar Klausa 13 dalam Pendaftaran Farmasi Akta 1951.

“Jualan secara terus kit ujian kendiri Covid-19 tanpa garis panduan yang jelas dan maklumat daripada ahli farmasi, disifatkan sebagai berisiko kerana menjurus kepada keputusan ujian yang tidak tepat, sekali gus menyebabkan banyak kes tidak dilaporkan menerusi MySejahtera berikutan kelemahan dalam pengendalian.

“Cara pelupusan kit ujian yang tidak cekap juga akan menyumbang kepada pencemaran alam sekitar, yang mana dikhuatiri akan menyebabkan risiko jangkitan kepada orang awam,” katanya.

Justeru, Amrahi berkata pihaknya juga merasakan penyenaraian Pharma2u sebagai keterlaluan, selain disifatkan sebagai penindasan terhadap komuniti farmasi yang sah beroperasi menurut lunas undang-undang.

“Bagi menyokong penjualan kit ujian kendiri Covid-19 menerusi pihak yang sah, aplikasi MySejahtera seharusnya menyertakan sekali peta komuniti farmasi bagi memudahkan orang awam mendapatkan kit ujian kendiri di farmasi terdekat mereka,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.