
Pemilik Redang Bay Resort Lim You Jing, berkata penularan pandemik Covid-19 melanda sejak hampir dua tahun ini, memaksa beliau setakat ini menjual empat daripada 16 buah bot miliknya bagi menampung perbelanjaan harian, memandangkan resortnya kini berhadapan dengan sifar pendapatan.
“Pulangan yang saya dapat dengan menjual keempat-empat buah bot itu (sebuah bot kargo dan tiga bot pelancong) tidak sampai RM300,000. Namun , ia sedikit sebanyak dapat menampung perbelanjaan harian seperti makanan kami dan kos penyelenggaraan resort.
“Sebelum pandemik, resort ini beroleh hasil kira-kira RM12,000 sehari, dengan kehadiran sekitar 120 pengunjung setiap hari namun sekarang tiada langsung pengunjung dan kami pun tiada pendapatan. Jadi kena lah berjimat dan jual aset yang ada,” katanya ketika ditemui pemberita di resortnya di Pulau Redang, di sini.
Selain itu, katanya berikutan ketiadaan pengunjung, bekalan elektrik di Redang Bay Resort juga hanya dipasang selama 10 jam sehari, iaitu bermula kira-kira 7 malam hingga 5 pagi bagi menjimatkan perbelanjaan bulanan, berbanding 24 jam sebelum ini.
“Lagipun sekarang ini hanya saya dan 27 pekerja sahaja yang tinggal di resort ini, jadi boleh la kami berjimat dan hanya menggunakan elektrik pada waktu malam sehingga awal pagi sahaja,” katanya.
You Jing berkata sebelum ini beliau mempunyai hampir 100 pekerja, namun situasi pandemik Covid-19 yang semakin menghimpit menyebabkan sebahagian besar daripada mereka terpaksa pulang ke kampung halaman masing-masing, dan hanya akan dipanggil bekerja apabila sektor pelancongan kembali dibuka nanti.
“Pekerja yang masih tinggal di resort ini juga saya beri pilihan, sekiranya ingin terus berada di sini saya hanya dapat menanggung kos makanan mereka sahaja, tetapi gaji tidak dapat dibayar. Saya hanya akan dapat bayar tunggakan gaji mereka apabila resort ada pendapatan nanti.
“Mereka pun faham dengan keadaan saya dan memilih untuk tinggal di resort, kerana sekiranya pulang ke tanah besar pun susah untuk mencari kerja baharu sekarang ini dan kalau tinggal di Kuala Terengganu pun perbelanjaan lebih tinggi,” katanya.
Sehubungan itu, You Jing yang juga Setiausaha Persatuan Pengusaha Resort Pulau Redang, meminta kerajaan segera membenarkan individu yang telah melengkapkan dua dos vaksin Covid-19 untuk merentas daerah atau negeri, demi menyelamatkan perniagaan mereka.
“Penduduk, pengusaha dan pekerja di Pulau Redang telah menerima vaksin dos pertama pada Jumaat dan Sabtu lepas (30 dan 31 Julai), manakala dos kedua pula dijangka pada pertengahan Ogos ini, jadi kami sangat berharap rentas daerah atau negeri itu akan dibolehkan pada September. Kami telah bersedia menerima kehadiran pelancong pada bila-bila masa,” katanya.
Katanya hal ini kerana kesemua 10 buah resort di pulau tersebut dijangka tidak dapat beroperasi bermula Disember ini, kerana musim tengkujuh dan situasi tersebut akan menyebabkan para pengusaha mengalami lebih kerugian.
“Kebiasaannya ombak kuat ekoran musim tengkujuh hanya akan melanda pada pertengahan Disember, sebab itu kami bercadang untuk buka resort pada bulan September hingga November ini. Sekiranya pengunjung risau untuk melakukan aktiviti di laut dan pantai, kami juga akan menawarkan pakej di darat seperti ‘jungle tracking’,” katanya.