Sidang Parlimen Isnin ini bergantung keputusan ujian Covid-19, kata Timbalan Speaker

Sidang Parlimen Isnin ini bergantung keputusan ujian Covid-19, kata Timbalan Speaker

Rashid Hasnon berkata, Parlimen sedang menunggu maklumat terkini daripada Kementerian Kesihatan mengenai kes Covid-19.

Timbalan Speaker Mohd Rashid Hasnon sebelum ini telah menangguhkan prosiding pada hari Khamis kerana kes Covid-19 dikesan di Parlimen. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Selepas sesi persidangan Parlimen hari keempat, pada Khamis lalu, ditangguh berkali-kali, hari terakhir persidangan pada Isnin ini juga turut menjadi tanda tanya.

Menteri Undang-Undang Takiyuddin Hassan dijadualkan akan memberi penjelasan kepada Ahli Parlimen mengenai pembatalan Ordinan Darurat, antara undang-undang yang dilaksana ketika darurat berkuatkuasa, sejak Januari lalu.

Timbalan Speaker Rashid Hasnon, berkata Parlimen sedang menunggu maklumat terkini daripada Kementerian Kesihatan mengenai kes Covid-19.

“Oleh kerana terdapat kes Covid-19 dilaporkan di bangunan Parlimen, kami perlu menunggu maklumat lanjut dari Kementerian Kesihatan,” katanya kepada FMT.

Pada Khamis, sidang Parlimen ditangguhkan selepas dua kakitangan dilaporkan positif Covid-19.

Pada 3.30 petang hari sama, Rashid memaklumkan kepada semua Ahli Parlimen bahawa mereka semua dilarang meninggalkan bangunan, sehingga ujian Covid-19 selesai dijalankan.

Pada jam 5.15 petang, Rashid berkata, terdapat dua lagi kes positif baharu dilaporkan, dan memaklumkan persidangan sekali lagi ditangguhkan sehingga jam 5.30 petang.

Sebelum itu, Parlimen ditangguhkan sebanyak tiga kali – 12.30 tengah hari, 12.45 tengah hari dan 2.30 petang.

Ia susulan kenyataan dari Istana Negara yang menitahkan bahawa kerajaan tidak meminta persetujuan Yang di-Pertuan Agong untuk membatalkan undang-undang berkaitan darurat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.