Pemuda PKR buat laporan polis terhadap Muhyiddin, Takiyuddin, Peguam Negara

Pemuda PKR buat laporan polis terhadap Muhyiddin, Takiyuddin, Peguam Negara

Menggesa polis menyiasat dan mengambil tindakan tegas Muhyiddin, Takiyuddin dan Idrus.

Ahli Pemuda PKR membuat laporan polis di Kota Bharu, Kelantan semalam.
PETALING JAYA:
Pemuda PKR membuat laporan polis terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Parlimen) Takiyuddin Hassan dan Peguam Negara Idrus Harun atas penderhakaan kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Setiausaha Pemuda PKR, Syukri Razab dalam laporan polis yang dibuat sejak semalam di seluruh negeri menggesa pihak berkuasa itu menyiasat dan mengambil tindakan tegas terhadap Muhyiddin, Takiyuddin dan Idrus atas perbuatan derhaka mereka terhadap Agong serta melakukan pembohongan secara jelas.

“Antara Pemuda PKR negeri yang telah membuat laporan polis semalam adalah Perlis, Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Pahang, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Sabah.

“Selain itu, Pemuda PKR Sarawak, Terengganu, Kedah dan Wilayah Persekutuan akan membuat laporan polis pada hari ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Pemuda PKR juga meminta pihak polis untuk memaklumkan berapa laporan yang diterima berkenaan isu penderhakaan dan pembohongan kerajaan ini, serta menyatakan bila tiga individu terbabit akan disiasat.

“Kita inginkan siasatan telus dari pihak polis tanpa tunduk kepada pihak kerajaan kerana rakyat menjadi saksi penderhakaan kerajaan Perikatan Nasional,” katanya.

Terdahulu, pada 26 Julai (Isnin), Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Takiyuddin Hassan telah memaklumkan di Dewan Rakyat bahawa kabinet kerajaan telah membatalkan Ordinan Darurat berkuat kuasa 21 Julai 2021.

Namun, semalam Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah menzahirkan rasa dukacita dengan kenyataan yang dibuat di Parlimen pada Isnin bahawa kerajaan membatalkan semua Ordinan Darurat walhal ia belum lagi diperkenan baginda

Menurut, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Ahmad Fadil Shamsuddin, baginda menegaskan kenyataan Takiyuddin Hassan pada Isnin adalah tidak tepat dan mengelirukan ahli Dewan Rakyat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.