
Gabungan Bertindak Memorandum Rakyat Malaysia (GBMRM) menyenaraikan antara nama disarankan untuk dipecat adalah Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Takiyuddin Hassan, Menteri Kanan Mohamed Azmin Ali, Menteri Kesihatan Dr Adham Baba, Peguam Negara Idrus Harun dan Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun.
“Tindakan tegas juga perlu diambil kepada seluruh Kabinet Perikatan Nasional (PN) yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam perancangan penderhakaan ini sehingga membenarkan Ordinan Darurat ditamatkan tanpa perkenan Agong.
“Mereka mesti dikenakan tindakan undang-undang dan meletakkan jawatan secara terhormat serta-merta,” kata penyelaras GBMRM, Mustafa Mansor kepada pemberita selepas memorandum itu diserahkan.
Memorandum itu merupakan yang ketujuh diserahkan oleh gabungan berkenaan sejak Muhyiddin mengambil alih tampuk pemerintahan kerajaan.
Semalam, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah menzahirkan rasa dukacita dengan pengumuman pembatalan Ordinan Darurat di Parlimen Isnin lalu walhal ia belum diperkenan baginda.
Dalam pada itu, Mustafa berpandangan tindakan membelakangi Agong dalam pembatalan Ordinan Darurat di Parlimen merupakan satu penderhakaan dan bercanggah dengan prinsip Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, GBRM turut memohon Agong melantik Perdana Menteri baharu susulan penderhakaan oleh kerajaan PN.
“Proses pelantikan Perdana Menteri baharu mestilah melalui sokongan majoriti di Parlimen yang bersesuaian dengan prinsip negara demokrasi berparlimen.
“Sebarang bentuk manipulasi politik tidak bermoral dalam pelantikan Perdana Menteri mesti dipastikan tidak berlaku lagi,” katanya.
Mustafa yakin pelantikan Perdana Menteri baharu mampu membawa Malaysia keluar daripada kemelut politik, ekonomi, sosial dan kesihatan dalam masa singkat.