MeDKAD mudahkan pengguna lapor keputusan ujian kit kendiri di MySejahtera

MeDKAD mudahkan pengguna lapor keputusan ujian kit kendiri di MySejahtera

Keputusan ujian Covid-19 boleh dilaporkan kepada Kementerian Kesihatan menerusi aplikasi mySALIXIUM yang diselarikan secara automatik dalam MySejahtera.

Salixium mula dilancarkan di pasaran minggu lalu dan boleh mengesan kehadiran antigen SARS-CoV-2 dalam air liur manusia serta persampelan melalui hidung.
PETALING JAYA:
Pengguna kit ujian kendiri pantas antigen Salixium Covid-19 pertama Malaysia keluaran MeDKAD Sdn Bhd (MeDKAD) boleh melaporkan keputusannya secara terus menerusi aplikasi MySejahtera.

Syarikat itu memaklumkan, keputusan ujian berkenaan boleh dilaporkan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi aplikasi mySALIXIUM yang diselarikan secara automatik dalam MySejahtera.

Ketua pegawai eksekutif dan salah seorang pengasas MeDKAD, Ezuan Yaacob berkata, integrasi itu adalah langkah proaktif daripada kedua-dua pihak yang bekerjasama dalam memerangi penularan virus Covid-19.

“Ini penting terutamanya melihat trend penularan varian baharu, iaitu Beta dan Delta yang membimbangkan. Hasil ujian menunjukkan ukuran sensitiviti Salixium adalah 91.23% dan ukuran spesifikasinya 100%.

“Ia juga telah melepasi penilaian berdasarkan hasil ujian makmal yang dikeluarkan oleh Institut Penyeldikan Perubatan (IMR). Setiap pengguna bertanggungjawab melaporkan keputusan ujian yang benar bagi mengelakkan jangkitan,” katanya dalam kenyataan.

Ezuan berkata, cara penggunaannya amat mudah dengan orang ramai hanya perlu mengimbas kod unik QR pada kotak kit ujian sebelum mengambil gambar peranti dan memuat naik imej terbabit menerusi aplikasi.

“Seterusnya visi kecerdasan buatan (AI) kami akan mengesahkan hasil ujian. Keputusan ujian pengguna sama ada positif, negatif atau tidak sah akan dikemas kini ke MySejahtera dan dilaporkan terus ke KKM,” katanya.

Salixium mula dilancarkan di pasaran minggu lalu dan ia boleh mengesan kehadiran antigen SARS-CoV-2 dalam air liur manusia serta persampelan melalui hidung.

Berbeza dengan kit ujian kendiri lain di pasaran, ia memerlukan pengguna mendapatkan dua sampel spesimen calitan air liur dan bahagian dalam hidung bagi meningkatkan kadar pengesanan jumlah virus.

Ia juga boleh digunakan oleh makmal perubatan atau pekerja kesihatan bagi ujian tempat rawatan dan ujian kendiri secara umum di rumah.

Salixium boleh dibeli menerusi kedai dalam talian MeDKAD, iaitu MedCart dan farmasi terpilih. Untuk maklumat lanjut, sila layari www.medkad.com /www.salixium.com dan ikuti perkembangan terbaru Salium Test Kit di Instagram, Facebook dan Twitter.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.