‘Daulat Tuanku’, PM, Takiyuddin ucap tahniah ulang tahun keputeraan Sultan Abdullah

‘Daulat Tuanku’, PM, Takiyuddin ucap tahniah ulang tahun keputeraan Sultan Abdullah

Muhyiddin Yassin menyampaikan sembah takzimnya kepada baginda melalui satu ciapan di Twitter pagi ini.

Ciapan Twitter Perdana Menteri pagi ini mengucapkan tahniah kepada Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah atas ulang tahun hari keputeraannya yang ke-62. (Gambar Twitter)
PETALING JAYA:
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengucapkan tahniah atas ulang tahun hari keputeraan Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah yang ke-62 dalam satu ciapan di Twitter pagi ini.

“Semoga Allah memberkati pemerintahan berjiwa rakyat Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku,” katanya.

Perhatian pemerhati politik dan warganet tertumpu kepada Muhyiddin dan Jemaah Menteri selepas Istana Negara dalam kenyataan semalam menzahirkan rasa “amat dukacita” Yang di-Pertuan Agong atas pengumuman dibuat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Takiyuddin Hassan di Parlimen berhubung pembatalan Ordinan Darurat, yang masih belum mendapat perkenan baginda.

Menjawab kenyataan Istana, Pejabat Perdana Menteri berkata, tindakan yang diambil oleh kerajaan untuk membatalkan Ordinan Darurat dilaksanakan mengikut peruntukan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.

Timbalan Presiden Umno hari ini menyeru Ahli Parlimen daripada partinya agar menjauhkan diri daripada terheret ke dalam krisis antara kerajaan Perikatan Nasional (PN) dengan Istana Negara.

Sementara itu, di Facebook Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Takiyuddin Hassan turut menzahirkan ucapan ulang tahun hari keputeraan Sultan Abdullah.

“Patik mendoakan dilanjutkan usia, harmoni sejahtera Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku, dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj. Ampun Tuanku,” ucapnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.