Covid-19 melonjak semula, Sabah tingkat vaksinasi, ketat SOP

Covid-19 melonjak semula, Sabah tingkat vaksinasi, ketat SOP

Jumlah kes 1,066 hari ini adalah yang tertinggi direkodkan di Sabah tahun ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Masidi Manjun mengakui lonjakan kes Covid-19 di negeri itu mungkin disebabkan kelesuan pandemik dan sikap sambil lewa dalam mematuhi SOP. (Gambar Bernama)
KOTA KINABALU:
Jumlah jangkitan baharu Covid-19 di Sabah melonjak kepada 1,066 kes dalam tempoh 24 jam lalu, iaitu yang tertinggi direkodkan tahun ini.

Ini kali pertama jumlah kes mencecah 1,000 tahun ini dan ia hanya kurang sedikit berbanding rekod tertinggi 1,199 pernah direkodkan di negeri itu pada 6 November tahun lalu.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Masidi Manjun berkata, lonjakan kes itu mungkin disebabkan sikap sambil lewa dalam mematuhi SOP, yang diakuinya mungkin juga disebabkan kelesuan pandemik.

Kira-kira 60% atau 640 kes hari ini adalah susulan saringan kontak rapat dengan ibu negeri itu menunjukkan jumlah tertinggi penularan dalam komuniti sebanyak 125 kes.

“Sebab itu kita perlu mengubah strategi dan memfokuskan lebih terhadap peningkatan vaksinasi serta penguatkuasaan SOP,” katanya kepada FMT.

“Saya baru bermesyuarat dengan setiausaha negeri dan persekutuan, ketua polis, ketua tentera Sabah dan pengarah kesihatan negeri serta Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Kami telah bersetuju dengan hala tuju dasar baharu yang akan diumumkan tidak lama lagi. Fokus kini terhadap peningkatan vaksinasi, bukan sekadar saringan.”

Masidi yang juga jurucakap rasmi Covid-19 negeri tidak menolak kemungkinan sekatan pergerakan penuh dilaksanakan sekali lagi, namun berkata ia bukan pilihan utama.

“Kami tidak menolak kemungkinan sekatan pergerakan dilaksanakan, namun virus itu kini dalam komuniti – setiap satu daripada kita kini berpotensi menjadi pembawa virus. Sekatan pergerakan bukan lagi tindak balas paling berkesan.

“Ia berkesan kali pertama kerana jangkitannya setempat, tetapi bukan sekarang. Ketika kita laksanakan sekatan pergerakan kali pertama juga vaksin belum ada.

“Sekatan pergerakan tidak lagi menjadi satu-satunya pilihan memandangkan keadaan ekonomi yang nazak. Ramai orang hilang pekerjaan dan tidak mempunyai pendapatan.

“Jadi kita perlu imbangkan kehidupan dan mata pencarian. Kapasiti kerajaan untuk memberikan bantuan juga kini agak terhad,” katanya.

Katanya, banyak negara lain juga tidak lagi menggunakan strategi sekatan pergerakan sebaliknya meningkatkan vaksinasi dan pematuhan penuh SOP.

Masidi sebelum ini memberi amaran jumlah jangkitan akan meningkat dalam tempoh beberapa hari dalam pada saringan besar-besaran diadakan, selain mengatakan sikap sambil lewa orang ramai terhadap pematuhan SOP juga mungkin menyumbang.

Dua kluster baharu turut dikesan hari ini, iaitu kluster Batu 2 di Tawau dan kluster Jalan Gunsapau di Ranau.

Kes harian di Sabah naik dan turun antara 100 hingga 300 antara Mei serta pertengahan Julai, namun pada 17 Julai lalu jumlah jangkitan tiba-tiba melonjak kepada 647 kes.

Sebanyak 312 kes atau hampir separuh daripadanya dikesan di Kota Kinabalu, kebanyakannya daripada kluster di Penjara Kepayan (Kluster Tembok Kota Kinabalu).

Penularan dalam komuniti menyumbang kepada 34% daripada keseluruhan jangkitan.

Keesokannya, kluster Penjara termasuk di Tawau dan saringan besar-besaran kluster sedia ada turut menyumbang kepada peningkatan kes.

Bilangan kes kekal lebih 500 sehingga hari ini, kecuali 474 kes pada 21 Julai dan 379 pada 22 Julai.

Jangkitan baharu daripada kluster Penjara mula reda pada 21 Julai.

Bagaimanapun, pada hari sama penularan dalam komuniti mula meningkat dengan kebanyakannya dikesan di ibu negeri. Ia masih menjadi sumber utama jangkitan baharu sehingga hari ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.