
Beliau berkata, vaksin CanSino sesuai untuk diberikan kepada penduduk yang mengalami kesukaran untuk berulang alik ke pekan atau bandar terdekat berikutan faktor pengangkutan serta keadaan jalan yang tidak begitu baik untuk pasukan kesihatan datang ke kawasan mereka.
Katanya, dengan vaksin CanSino juga, program jangkauan yang sedang dilaksanakan kerajaan dapat dipermudahkan seterusnya mempercepatkan lagi program vaksinasi di kawasan pedalaman atau luar bandar.
“Pendaftaran (untuk mendapatkan vaksin) menerusi aplikasi MySejahtera bermasalah di kawasan pedalaman kerana ketiadaan akses internet dan ini menyukarkan penduduk kampung.
“Bagaimanapun dengan adanya vaksin CanSino, ia pasti meningkatkan lagi program ‘outreach’ yang kini dilaksanakan kerajaan kerana vaksin itu hanya memerlukan satu dos saja,” katanya kepada FMT.
Kew berkata, beliau menyambut baik jaminan yang diberikan kerajaan pusat untuk memberi keutamaan kepada Sabah bagi menerima bekalan vaksin CanSino.
“Saya diberitahu Sabah akan dibekalkan dengan vaksin CanSino dan diharapkan ia akan sampai pada Ogos seperti yang dijangka. Kemenangan kita ke atas cabaran pandemik Covid-19 ini, jawapannya adalah program vaksinasi yang berkesan,” katanya.
Terdahulu sebelum ini, Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin Abu Bakar memberi jaminan Sabah akan diberi keutamaan untuk mendapat bekalan vaksin CanSino.
Jaminan itu diberikan kepada Ketua Menteri Hajiji Noor dalam pertemuan secara maya antara dua pemimpin berkenaan baru-baru ini.
Menurut laporan juga sebanyak tiga juta bekalan vaksin itu tiba di negara ini pada bulan depan.
Baru-baru ini juga, Hajiji berkata, Sabah mensasarkan sekurang-kurangnya 60% daripada penduduknya telah menerima vaksin menjelang Okt ini.