Peniaga Labuan waspada pembukaan awal operasi perniagaan

Peniaga Labuan waspada pembukaan awal operasi perniagaan

Walaupun pulau berkenaan mencapai imuniti kelompok, penduduk kekal bimbang jangkitan kembali tidak terkawal.

Labuan mencapai imuniti kelompok selepas 80% penduduk dewasa sudah divaksin. (Gambar Bernama)
KOTA KINABALU:
Komuniti perniagaan di Labuan berharap lebih banyak aktiviti ekonomi dibenarkan di pulau berkenaan selepas menjadi Wilayah Persekutuan dan negeri pertama mencapai imuniti kelompok.

Walaupun begitu, mereka masih berwaspada mengenai pembukaan awal operasi perniagaan, susulan kebimbangan risiko jangkitan kembali tidak terkawal.

Semalam Ahli Parlimen Kota Kinabalu Chan Foong Hin mempersoal tindakan kerajaan tidak membenarkan lebih banyak aktiviti ekonomi dibuka semula di Labuan selepas 80% populasi dewasa di kawasan itu sudah divaksin.

Chan yang juga Setiausaha DAP Sabah turut menggesa kerajaan mempertimbang keputusan melarang kapal asing berlabuh di pelabuhan Labuan dengan merujuk kepada kebenaran beroperasi di Pelabuhan Klang sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada kali pertama.

Ahli perniagaan Peter Mak berkata, capaian imuniti kelompok adalah memberangsangkan, namun ia tidak bermakna kes jangkitan tidak akan melambung semula.

“Walaupun kita menjadi yang pertama capai imuniti kelompok serta yakin jumlah jangkitan dijangka menurun, namun tiada sesiapa yang mempunyai pengalaman melihat apa sebenarnya yang boleh berlaku selepas imuniti berkenaan dicapai.

“Situasi ini adalah rumit kerana membabitkan soal nyawa dan kehidupan tetapi saya yakin pihak berkuasa mahu melihat banyak sektor dibuka semula tidak lama lagi,” katanya kepada FMT.

Peter yang juga Naib Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) berkata, penduduk Labuan melalui tempoh sukar dan menyedihkan selepas pulau terbabit antara yang teruk dilanda wabak Covid-19 di negara ini.

“Pihak berkuasa yang mengurus pandemik dan sektor perniagaan perlu duduk semeja untuk bertukar pandangan bagi mendapatkan penyelesaian menang-menang.

“Ini penting kerana kita akan kembali seperti sebelumnya jika kehidupan kita sekali lagi diancam,” katanya.

Seorang lagi ahli perniagaan, Azhar Othman berkata, Labuan belum keluar daripada bahaya.

“Adalah tidak bertanggungjawab untuk mendesak semua sektor dibuka segera tanpa ada kajian implikasi dilakukan,” katanya.

Azhar yang juga Pengerusi Majlis Perniagaan Labuan Kawasan Pertumbuhan Timur ASEAN-Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) berkata, situasi semasa perlu dipantau, terutama memastikan varian Delta tidak terlepas masuk semula ke pulau berkenaan.

“Justeru, difahami mengapa pihak berkuasa mengenakan sekatan ketat prosedur operasi standard (SOP) di pelabuhan dan sektor perkapalan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata pihak yang menguruskan pandemik dan Lembaga Pelabuhan Labuan sepatut mempertimbang cadangan memperkenalkan prosedur pengoperasi tanpa kontak.

“Lembaga Pelabuhan Labuan dan kumpulan perniagaan berkaitan perlu duduk semeja dengan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Labuan bagi menetapkan sekatan.

“Saya memahami tindakan tidak membenarkan kapal berlabuh menyebabkan caj yang tidak sepatutnya dengan orang awam terpaksa menanggung beban.

“Alternatif lain adalah kerajaan menyerap atau memberi subsidi bayaran kepada semua bahagian caj tambahan,” katanya.

Beliau berkata, untuk sektor perniagaan lain, mereka perlu dibenarkan beroperasi semula mengikut garis panduan fasa dua Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.