
Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor berkata dalam kenyataan, mereka berjaya mengeluarkan empat mangsa terperangkap yang mengalami kecederaan ringan, manakala usaha masih diteruskan untuk menyelamatkan seorang lagi pekerja yang terperangkap.
Kejadian berlaku sekitar jam 2.40 petang di depan Hotel Premiere di Bandar Bukit Tinggi.
Dua balai bomba terlibat dalam operasi menyelamat itu dengan anggota tiba di tempat kejadian sekitar 15 minit selepas menerima panggilan kecemasan.
“Sebarang maklumat akan dikemas kini dari semasa ke semasa,” kata kenyataan itu.
Sementara itu, kontraktor projek, Pembinaan Jaya Zira Sdn Bhd berkata, seorang pekerjanya maut manakala empat berjaya diselamatkan dalam kejadian itu.
Syarikat itu berkata, perintah henti kerja telah dikeluarkan terhadap tapak pembinaan itu, berkuat kuasa serta-merta.
“Kami sedang bekerjasama dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk menyiasat punca kejadian.”
Prasarana Malaysia Bhd dalam kenyataan pula berkata ia telah mengarahkan kontraktor siap binanya melakukan siasatan menyeluruh terhadap kejadian itu, serta memberikan laporan terperinci dengan langkah mitigasi bagi memastikan tidak berulang.
“Kami akan mengambil tindakan sewajarnya, termasuk segera melancarkan siasatan kami terhadap kejadian itu, selain bekerjasama sepenuhnya dengan pihak berkuasa untuk memastikan siasatan yang menyeluruh dan bebas dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan.
Prasarana adalah pemilik projek LRT Shah Alam itu.