Kelirukan Dewan isu hartal doktor, rujuk Adham ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen, kata Fahmi

Kelirukan Dewan isu hartal doktor, rujuk Adham ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen, kata Fahmi

Kenyataan polis bahawa mereka melakukan siasatan terhadap doktor kontrak di PKRC MAEPS berhubung kehadiran media menimbulkan persoalan kerana Adham sudah memberi jaminan tidak akan mengambil sebarang tindakan.

Fahmi Fadzil berkata kenyataan polis semalam bahawa pihaknya melakukan siasatan terhadap doktor kontrak di pusat kuarantin itu berhubung kehadiran media yang tidak mendapat kebenaran pihak pengurusan atasan, telah menimbulkan persoalan.
KUALA LUMPUR:
Menteri Kesihatan Dr Adham Baba perlu dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana membuat kenyataan mengelirukan di Dewan Rakyat berhubung isu hartal doktor kontrak membabitkan petugas di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Bersepadu 2.0 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang, kata Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil.

Beliau berkata, kenyataan polis semalam bahawa pihaknya melakukan siasatan terhadap doktor kontrak di pusat kuarantin itu berhubung kehadiran media yang tidak mendapat kebenaran pihak pengurusan atasan, telah menimbulkan persoalan.

“Sekiranya kita teliti kenyataan yang dibuat oleh polis menyatakan bahawa bukan mereka (doktor) yang disiasat tapi petugas media yang disiasat.

“Banyak persoalan yang timbul kerana benar petugas media yang disoal siasat maka kita kena panggil menteri komunikasi dan multimedia memberikan penjelasan,” katanya pada sidang media di Parlimen.

Malah, katanya sehingga hari ini Dewan Rakyat masih tidak mendengar sebarang penjelasan daripada Adham bahawa perkara itu sudah dipanjangkan kepada Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin supaya siasatan terhadap kumpulan doktor berkenaan dihentikan selepas didesak Ahli Parlimen pembangkang di Dewan semalam.

“Seperti dibangkitkan Ahli Parlimen semalam telah bertanya sama ada kenyataan yang dibuat oleh menteri kesihatan dapat dipanjangkan ke menteri dalam negeri tapi sehingga hari ini kita belum mendengar sepatah pun daripada menteri dalam negeri tentang tindakan dan siasatan yang dibuat oleh polis terhadap sejumlah doktor, jururawat dan petugas kesihatan di MAEPS.

“Mereka telah disoal siasat sewaktu mereka tengah menjalankan tugas dan ini melanggar apa yang dikatakan di dalam Dewan (oleh menteri kesihatan) dan saya amat sedih dan tidak tahu setakat pagi ini ada media yang telah mendapat kenyataan daripada menteri kesihatan,” katanya.

Pada 27 Julai, Adham memberi jaminan kumpulan doktor kontrak yang menyertai mogok di seluruh negara pada Isnin lalu tidak akan dikenakan tindakan disiplin.

Katanya, doktor kontrak berkenaan berhak menyuarakan pandangan masing-masing sambil memaklumkan pihaknya menghormati kumpulan berkenaan.

Terdahulu, media melaporkan peguam Asheeq Ali mewakili kumpulan itu dilaporkan berkata doktor, jururawat dan petugas perubatan lain di PKRC MAEPS disoal siasat polis selama empat jam hingga 4 pagi pada Selasa.

Ia selepas tindakan hartal doktor kontrak serentak di seluruh negara pada Isnin, di kira-kira 20 hospital.

Fahmi berkata, beliau berharap Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun akan memberikan jawapan mengenai usulnya itu.

“Saya berharap speaker dapat memberikan jawapan dan saya akan rujuk dengan beliau pada Isnin kerana saya lihat tidak ada kesungguhan daripada pihak menteri kesihatan dan KDN untuk memberikan penjelasan.

“Setidak-tidaknya beliau perlu memberi satu kenyataan yang jelas bahawa beliau sendiri tidak ada kuasa dalam Dewan, beliau memberikan satu persepsi bahawa tidak akan ada sebarang tindakan yang diambil terhadap mana-mana doktor kontrak yang terlibat dalam hartal doktor kontak,” katanya, bagaimanapun jaminan itu tidak berlaku.

“Itulah sebab perkara ini perlu dibahaskan dan diputuskan dalam Dewan Rakyat dan beliau tidak patut berselindung atau pun mengelak untuk jawab dalam Dewan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.