Isu kebajikan, sosioekonomi, bantuan kewangan, topik penting Dewan Rakyat hari ini

Isu kebajikan, sosioekonomi, bantuan kewangan, topik penting Dewan Rakyat hari ini

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz akan membentangkan penerangan mengenai pakej-pakej bantuan ekonomi dilancarkan kerajaan sejak pandemik Covid-19 melanda.

Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 berlangsung selama lima hari bermula Isnin hingga 29 Julai dan 2 Ogos. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Soal kebajikan, sosioekonomi dan bantuan kewangan kepada rakyat yang terhimpit disebabkan pandemik Covid-19 antara topik utama dijangka dibangkitkan Ahli Parlimen untuk penambahbaikan pada hari keempat Mesyuarat Khas Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz akan membentangkan penerangan mengenai pakej bantuan ekonomi yang dilancarkan kerajaan sejak pandemik melanda negara.

Sehingga kini, dilaporkan kerajaan memperuntukkan suntikan fiskal berjumlah RM83 bilion untuk membiayai lapan pakej rangsangan ekonomi termasuk yang terbaharu, iaitu Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH).

Selain PEMULIH, pakej lain ialah Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat (PERMAI), Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) dan PEMERKASA Tambahan.

Selain itu, inisiatif lain ialah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Prihatin PKS Tambahan; Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) dan Kerangka Inisiatif Tambahan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Kita Prihatin).

Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 berlangsung selama lima hari bermula Isnin hingga 29 Julai dan 2 Ogos.

Pada sidang khas itu, semua 220 Ahli Parlimen termasuk yang belum divaksin dibenar hadir ke Dewan Rakyat dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat, termasuk menjalani ujian saringan Covid-19 serta memakai pelitup muka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.