Dengarlah gesaan Agong, kata menteri

Dengarlah gesaan Agong, kata menteri

Redzuan Yusof berkata, dalam keadaan kerajaan mempunyai majoriti tipis, penting untuk mendengar pandangan semua pemegang taruh daripada eksekutif, perundangan, kehakiman dan raja.

Istana Negara berkata, Putrajaya tidak mendapat perkenan Agong untuk membatalkan Ordinan Darurat yang diumumkan Takiyuddin Hassan berkuat kuasa 21 Julai lalu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang menteri persekutuan menggesa semua pihak menghormati gesaan Yang di-Pertuan Agong supaya Ordinan Darurat dibentang dan dibahaskan di Parlimen.

“Kenyataan Istana Negara itu dijangkakan disebabkan tafsiran berbeza terhadap Perlembagaan Persekutuan. Selama berdekad, kerajaan mengambil mudah bagaimana sistem politik kita harus berfungsi,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Redzuan Yusof kepada FMT.

Beliau berkata, kuasa dan peranan pelbagai tonggak negara, daripada eksekutif kepada perundangan, raja dan kehakiman kadangkala “tidak jelas”.

Ini kerana katanya, selama bertahun-tahun, keseimbangan kuasa beralih kepada eksekutif yang turut mengawal cabang perundangan melalui majoriti kuat di Parlimen.

“Hakikatnya kita perlu mengadakan perbincangan apa yang boleh dan tidak boleh, patut dan tidak patut dilakukan tonggak negara.

“Kita dalam keadaan kerajaan mempunyai majoriti tipis, oleh itu penting untuk mendengar pandangan semua pemegang taruh daripada eksekutif, perundangan, kehakiman dan raja.”

Terdahulu, Istana Negara berkata, Putrajaya tidak mendapat perkenan Agong untuk membatalkan Ordinan Darurat apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Takiyuddin Hassan mengumumkan pembatalan itu berkuat kuasa 21 Julai lalu di Dewan Rakyat pada Isnin.

Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah berkata, kenyataan Takiyuddin di Parlimen Isnin lalu tidak tepat dan mengelirukan ahli Dewan Rakyat.

Susulan itu, Ahli Parlimen menggesa isu itu dibahaskan di Dewan Rakyat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.