
Ia antara beberapa dakwaan yang dihadapi Malaysia atas dakwaan penganiayaan buruh asing. Awal bulan ini, Jabatan Negara AS menurunkan kedudukan Malaysia ke Tahap Tiga, paling rendah dalam laporan pemerdagangan manusia tahunannya.
Kumpulan itu, Liberty Shared memberitahu Reuters petisyen yang difailkan terhadap CBP pada Jun lalu, berdasarkan tindakan undang-undang dan laporan polis pekerja asing, mungkin yang pertama seumpamanya terhadap anak syarikat milik AS itu di Asia Tenggara.
“Keadaan dan layanan yang mereka hadapi nampaknya memenuhi petunjuk buruh paksa Pertubuhan Buruh Antarabangsa,” kata Pengarah Urusan kumpulan itu, Duncan Jepson.
Katanya, beliau difahamkan CBP sedang menyiasat perkara itu.
Petisyen sama kepada CBP turut menyebabkan import daripada syarikat Malaysia disekat dahulu atas dakwaan penggunaan buruh paksa.
Mei lalu, pekerja asing dari India, Myanmar dan Nepal mendakwa Goodyear Malaysia tidak membayar gaji, kerja lebih masa yang menyalahi undang-undang, ugutan dan intimidasi.
Goodyear, satu daripada pengeluar tayar terbesar di dunia, berkata ia tidak tahu mengenai petisyen Liberty Shared dan mempunyai dasar kukuh untuk melindungi hak asasi manusia.
“Kami memandang serius sebarang dakwaan tingkah laku tidak wajar dan komited memastikan amalan perniagaan kami serta rakan sekutu, operasi dan rantaian bekalan mematuhi semua syarat undang-undang serta keperluan dalam dasar kami,” kata jurucakap Goodyear.
Dahulu, syarikat itu enggan mengulas dakwaan berkenaan atas alasan ia dalam proses mahkamah.