
Menteri Besar Perak Saarani Mohamad berkata, bagi tujuan itu, PKNPk menerusi subsidiarinya, Majuperak Holdings Bhd (MHB) dilantik mengetuai pembelian vaksin bagi Program Vaksin Perak (PVP) yang dikenali sebagai SilverVax.
“Kita ada terima permintaan kilang-kilang serta pemain industri yang ingin cepat dapatkan vaksin untuk kakitangan dan pekerja mereka. Kalau tunggu giliran (di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan- PICK) lambat, jadi mereka sedia bayar untuk vaksin.
“Kerana itu apabila Pharmaniaga Berhad dapat kelulusan bekal dos vaksin secara terus, maka kerajaan negeri Perak terima tawaran itu dan kita gunakan MHB untuk uruskan pembelian dan jual kepada mana-mana pihak (industri).
“Ini program sokongan kepada program sedia ada. Jadi tidak timbul masalah kita tidak utamakan rakyat (yang menunggu giliran). Pemberian vaksin berbayar ini adalah program khusus untuk kepada pekerja kilang dan tidak perlu menunggu giliran seperti sekarang,” katanya dalam sidang media secara maya di pejabatnya.
Semalam, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MHB Nizran Noordin dilapor berkata pihaknya akan menyokong usaha kerajaan negeri dalam mempercepat proses vaksinasi demi mencapai imuniti kelompok dengan meningkatkan pengedaran vaksin kepada kumpulan sasar.
Saarani berkata seramai 683,332 orang atau 36.69% daripada populasi penduduk berusia 18 tahun ke atas di Perak telah diberikan dos pertama vaksin manakala 378,851 iaitu 20.34% telah lengkap menerima dua dos vaksin.
Beliau berkata sehingga 26 Julai, seramai 1,450,358 orang (77.9%) telah mendaftar bagi mendapatkan vaksin dan dalam tempoh yang sama negeri ini telah menerima sejumlah 1,191,789 dos vaksin dari jenis Pfizer, Sinovac dan Astrazeneca.
“Jadual bekalan vaksin bagi Julai ialah sebanyak 688,760 dos. Antara 1 Julai hingga 26 Julai, bekalan vaksin yang telah diterima ialah sebanyak 438,191 dos manakala baki 250,569 dos lagi dijangka diterima pada minggu ini,” katanya.
Katanya, PICK di Perak kini beroperasi di 22 pusat pemberian vaksin (PPV) awam, 89 PPV pengamal perubatan (PPVGP), 13 PPV hospital swasta (PPVHS), tujuh PPV khas (sPPV), 11 PPV bergerak dan enam PPV industri (PPVIN) dengan kapasiti maksimum harian berjumlah 35,000 suntikan.
Perak menyasarkan capaian nilai ambang 40% suntikan pada penghujung Ogos ini atau selewatnya minggu pertama September namun unjuran tersebut tertakluk kepada bekalan vaksin yang akan diterima.