Polis siasat petugas media ceroboh PKRC MAEPS

Polis siasat petugas media ceroboh PKRC MAEPS

Polis berkata dewan itu telah diwartakan sebagai tempat Pusat Kuarantin dan Rawatan Penyakit Berjangkit (Covid19) dan orang luar adalah dilarang masuk tanpa kebenaran.

Polis berkata, seramai 17 kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM) terdiri daripada doktor dan jururawat yang bertugas semasa kejadian sudah diambil keterangan bagi membantu siasatan.
PETALING JAYA:
Polis melakukan siasatan berhubung kes beberapa petugas media dari pelbagai agensi yang dilaporkan menceroboh Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Bersepadu 2.0 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang, Md Noor Aehawan Mohamed berkata, semalam pihaknya menerima laporan daripada pihak pengurusan PKRC yang mendakwa media terbabit masuk ke dewan itu tanpa kebenaran.

“Kawasan tersebut merupakan sebuah dewan yang menempatkan pesakit wanita yang positif Covid-19 seramai 496 pesakit.

“Salah seorang daripada petugas media tersebut telah membuat rakaman secara langsung semasa berada dalam dewan tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Md Noor berkata, dewan tersebut telah diwartakan sebagai Pusat Kuarantin dan Rawatan Penyakit Berjangkit (Covid-19) dan orang luar dilarang memasukinya tanpa kebenaran.

Katanya, seramai 17 kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM) terdiri daripada doktor dan jururawat yang bertugas semasa kejadian sudah diambil keterangan bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan atas kesalahan Menceroboh Kawasan, Peraturan 17(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021 atas kesalahan ingkar SOP,” katanya.

Kes turut disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 atas kesalahan membuat rakaman dalam kawasan larangan sehingga menampakkan pesakit Covid-19 yang sedang dirawat.

Terdahulu, seramai 12 doktor kontrak yang menyertai #HartalDoktorKontrak di pusat kuarantin terbabit pada 26 Julai diambil keterangan oleh polis tengah malam tadi.

Peguam dan aktivis hak asasi manusia, Asheeq Ali berkata, siasatan itu berkait kehadiran media di pusat kuarantin berkenaan yang didakwa tanpa kebenaran pihak atasan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.