Pembangkang minta Adham perjelas selepas polis panggil 12 doktor kontrak sertai hartal

Pembangkang minta Adham perjelas selepas polis panggil 12 doktor kontrak sertai hartal

Fahmi Fadzil (PH- Lembah Pantai) berkata, tindakan itu bertentangan dengan kenyataan Menteri Kesihatan Dr Adham Baba sebelum ini menjelaskan tiada tindakan terhadap doktor sertai hartal.

Tidak sampai 24 jam selepas jaminan diberikan oleh Menteri Kesihatan Dr Adham Baba di Dewan Rakyat, 12 doktor dipanggil polis selepas menyertai hartal. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Tidak sampai 24 jam selepas jaminan diterima daripada Menteri Kesihatan Dr Adham Baba di Parlimen membabitkan peserta hartal, seramai 12 doktor kontrak menerima nasib berbeza susulan dipanggil polis untuk diambil keterangan pada jam 3.45 pagi tadi.

Fahmi Fadzil (PH- Lembah Pantai) berkata, tindakan itu bertentangan dengan kenyataan Adham yang sebelum ini memberi jaminan tiada tindakan terhadap doktor terbabit dalam mogok, #HartalDoktorKontrak.

“Semalam Menteri Kesihatan berkata, tidak ada tindakan kepada doktor kontrak walaupun keluar berdemo kerana mereka berhak berbuat demikian. Tetapi, menurut laporan media pagi ini, polis mengambil keterangan mereka pada jam 3.45 pagi tadi dengan merakam percakapan 12 doktor di MAEPS (Taman Ekspo Pertanian Malaysia), Serdang.

“Jadi saya minta penjelasan adakah kenyataan Dr Adham itu bagi seluruh kerajaan atau hanya Kementerian Kesihatan atau sebahagian kerajaan, kenapa masih ada tindakan kepada doktor yang keluar (mogok)?” katanya di Dewan Rakyat.

Terdahulu, media melaporkan Peguam Asheeq Ali mewakili kumpulan itu dilaporkan, berkata doktor, jururawat dan petugas perubatan lain di pusat kuarantin Covid-19 di MAEPS Serdang disoal siasat polis.

Ia selepas tindakan Hartal Doktor Kontrak (HDK) serentak di seluruh negara pada Isnin, di kira-kira 20 hospital.

Semalam di Dewan Rakyat, Adham berkata, kementerian memberi jaminan kumpulan doktor kontrak yang menyertai mogok semalam tidak akan dikenakan tindakan disiplin.

Katanya, mereka berhak berkumpul untuk menyuarakan pandangan masing-masing.

“Tidak ada apa-apa tindakan kepada mereka walaupun mereka keluar (mogok) semalam. Mereka berhak berbuat demikian,” kata Adham.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.