Marah warga emas di pusat gelandangan, penceramah dikompaun RM1,500 langgar SOP

Marah warga emas di pusat gelandangan, penceramah dikompaun RM1,500 langgar SOP

Dalam kejadian 11.30 pagi semalam, lelaki terbabit dikatakan menyampaikan ceramah motivasi bertajuk 'Ubah Hidup' kepada 20 gelandangan di pusat gelandangan di Jalan Pahang.

Video tular seorang individu yang memarahi warga emas di Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur ketika memberikan ceramah kepada gelandangan.
PETALING JAYA:
Seorang lelaki dikenakan kompaun RM1,500 kerana tidak memakai pelitup muka dalam video tular yang menunjukkannya memarahi warga emas di Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur.

Dalam kejadian 11.30 pagi semalam, lelaki terbabit dikatakan menyampaikan ceramah motivasi bertajuk “Ubah Hidup” kepada 20 gelandangan di pusat gelandangan di Jalan Pahang itu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Mohamad Zainal Abdullah, berkata lelaki terbabit dipanggil petang tadi bagi memberi keterangan berhubung insiden itu.

“Video berdurasi 49 saat itu menunjukkan seorang individu tidak memakai pelitup muka memarahi warga emas di Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur.

“Berdasarkan siasatan, kejadian berlaku ketika dia menyampaikan ceramah motivasi kepada 20 gelandangan. Individu itu dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) jam 5.20 petang untuk memberi keterangan berkaitan insiden terbabit.

“Polis kemudian mengenakan kompaun RM1,500 terhadapnya atas kesalahan tidak memakai pelitup muka,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, tindakan diambil mengikut Peraturan 17 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021.

“Polis menasihati orang ramai supaya terus mematuhi SOP ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam memerangi wabak Covid-19.

“Kegagalan mematuhinya membolehkan tindakan diambil mengikut undang-undang dan peraturan yang masih berkuatkuasa,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Khas Menteri di Kementerian Wilayah Persekutuan, A Subash Chandrabose, berkata penceramah berkenaan tidak dilantik oleh Dewan Bandararaya Kuala Lumpur (DBKL) atau kementerian, sebaliknya datang sebagai NGO.

Sehubungan itu, beliau yang mewakili kementerian mengingatkan pusat gelandangan menapis terlebih dahulu serta memantau pihak luar yang ingin mengadakan program bersama gelandangan supaya kejadian sama tidak berulang.

“Kami diberitahu lelaki itu NGO dan juga seorang ‘influencer’ datang untuk buat satu program usahawan.

“Kementerian syor kepada pusat gelandangan, tapis dulu jika ada orang luar nak datang dan pantau dan tak boleh biar guna peluang sesuka hati sehingga menyakitkan peserta,” katanya kepada FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.