
Menteri Penyelaras Program Imunisasi Kebangsaan Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin berkata, daripada jumlah berkenaan sebanyak 23.88 juta dos membabitkan perolehan kerajaan.
Setakat ini katanya, kira-kira 1.86 juta dos diterima pada suku pertama tahun ini, 8.97 juta dos diterima suku kedua dan baki akan diterima Julai.
“Kita turut menerima sumbangan vaksin daripada negara luar, iaitu Jepun 998,400 dos AstraZaneca; Amerika Syarikat (AS) 1.3 juta dos Pfizer dan China 500,00 dos Sinovac.
“Selain itu, kerajaan melalui Kementerian Luar berbincang dengan negara luar yang telah menyatakan kesediaan untuk menyumbangkan vaksin seperti United Kingdom (UK) dan Arab Saudi. Penerimaan ini akan membantu Malaysia mempercepatkan program imunisasi,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Dalam perkembangan sama, Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, sehingga 26 Julai lalu seramai 20,134,971 telah mendaftar bagi vaksinasi atau bersamaan 61.7% keseluruhan populasi Malaysia berjumlah 32.7 juta orang.
Katanya, daripada jumlah ini, 18.8 juta adalah individu dewasa berumur 18 tahun ke atas dan 1.2 juta orang merupakan individu di bawah umur 18 tahun.
“Jumlah populasi dewasa yang telah mendaftar bersamaan 80.5% daripada keseluruhan populasi dewasa di Malaysia. Manakala, bagi golongan warga emas berumur 60 tahun ke atas yang berjumlah keseluruhan 3.5 juta orang, sebanyak 89% telah mendaftar bagi mendapatkan vaksinasi Covid-19 mereka,” katanya.
Bagaimanapun Khairy berkata, berdasarkan statistik itu jumlah pendaftaran pada ketika ini adalah rendah, berbanding sasaran PICK sebanyak 80% daripada keseluruhan populasi yang perlu divaksin.
“Malah jika dilihat statistik pendaftaran vaksinasi beberapa buah negeri, peratusan pendaftaran adalah rendah berbanding nilai ambang ditetapkan di bawah Program Pemulihan Negara untuk sesebuah negeri beralih daripada satu fasa kepada fasa yang lain.
“Walau bagaimanapun, saya menyedari terdapat beberapa negeri yang mungkin menghadapi kekangan pendaftaran disebabkan keadaan geografi dan demografi yang berbeza-beza yang menghadapi kesukaran perhubungan dan akses komunikasi. Untuk itu, beberapa strategi dan kaedah telah pun kita rancang dan laksanakan bagi memastikan tiada sesiapa yang tertinggal daripada mendapatkan vaksinasi,” katanya.
Khairy turut memaklumkan pemberian vaksin di kawasan pelancongan seperti Langkawi akan dipercepat bagi membolehkan gelombang pelancongan diwujudkan.
“Kerjasama dengan Kementerian Pelancongan akan dilakukan bagi menjayakan “travel bubble” ini,” katanya.