
“Penting supaya orang ramai memahami penggunaan tidak terkawal Ivermectin boleh mengakibatkan kesan sampingan yang berbahaya,” kata Persatuan Farmasi Malaysia dan Persatuan Perubatan Malaysia dalam kenyataan bersama.
Menurut mereka, Ivermectin adalah racun Kumpulan B yang tidak didaftarkan di Malaysia untuk merawat Covid-19, walaupun telah diluluskan untuk penggunaan ‘off-label’ dalam ujian klinikal di 12 hospital di seluruh negara.
Disebabkan itu, ia tidak boleh diberikan oleh doktor atau ahli farmasi sehingga Kementerian Kesihatan meluluskannya.
Dua kumpulan itu menyuarakan rasa “terkejut dan bimbang” dengan penjualan meluas ubat itu di seluruh negara, seperti dilihat dalam beberapa serbuan oleh pihak berkuasa dalam tempoh beberapa minggu lalu.
Mereka bagaimanapun tidak memperincikan butiran serbuan berkenaan.
Menurut dua kumpulan itu, keadaan lebih diterukkan apabila segelintir Ahli Parlimen dan Persatuan Pengguna Pulau Pinang dilihat mendesak supaya Ivermectin digunakan dalam rawatan Covid-19 walaupun “bukti dikemukakan boleh dipertikaikan.”
Semalam, beberapa Ahli Parlimen pembangkang mencadangkan Ivermectin digunakan segera, dengan mendakwa India dan Filipina telah menunjukkan kejayaan menggunakannya untuk mengurangkan jangkitan tanpa kesan sampingan dilaporkan.
Bagaimanapun, mereka tidak pula menyebut bahawa pihak berkuasa kesihatan di kedua-dua negara itu tidak mengumumkan perkara berkenaan secara terbuka, seterusnya mengundang kritikan warganet dan pengamal perubatan.
Beberapa orang awam mengongsikan video mendakwa Ivermectin telah membantu malah konon “menyembuhkan” mereka selepas dijangkiti Covid-19.
Sementara itu, Menteri Kesihatan Dr Adham Baba berkata ujian klinikal Ivermectin di Malaysia dijadualkan selesai pada September.