
Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii, berkata, ini bagi melindungi keselamatan dan kesihatan semua rakyat Sarawak seiring dengan hak mereka untuk mengundi tanpa mengira lokasi mereka.
Yii berkata, darurat mesti diisytiharkan di Sarawak sehingga semua pembaharuan ini dimuktamadkan walaupun negeri itu telah berjaya dalam menangani wabak berkenaan.
“Ini susulan pengumuman baru-baru ini mengenai pembatalan Ordinan Darurat yang akan mengakibatkan Sarawak perlu mengadakan pilihan raya dalam tempoh 60 hari seperti kehendak Perlembagaan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau menganggap “malapetaka” akan berlaku sekiranya pilihan raya diadakan tahun ini, dengan memberi contoh masalah yang tercetus selepas pilihan raya di Sabah mengakibatkan gelombang ketiga Covid-19 di negara ini.
Katanya, kejadian itu patut dijadikan pengajaran bahawa pembaharuan mesti dilaksanakan terlebih dulu bagi memastikan rakyat Sarawak dapat menggunakan hak demokrasi mereka untuk mengundi dalam persekitaran yang lebih selamat.
“Kehadiran ‘Variant of Concern’ (VOC) seperti varian Delta, yang lebih mudah berjangkit dan berbahaya mesti diambil kira dan dipantau sebaiknya sebelum mempertimbangkan untuk mengadakan pilihan raya,” katanya.
Yii berkata, sekalipun negeri itu mencapai kadar vaksinasi 80% yang disasarkan bulan depan, kerajaan tidak boleh melupakan rakyat Sarawak yang tidak bermastautin di situ dan turut berhak mengundi.
Katanya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mesti melaksanakan SOP sewajarnya termasuk membolehkan undi pos untuk mereka yang bekerja di luar Sarawak.
Ini akan memudahkan pengundi yang menetap di negeri lain mengundi tanpa perlu pulang ke Sarawak dan mengakibatkan lonjakan kes jangkitan Covid-19 seperti yang dilihat berlaku di Sabah, katanya.
Beliau berkata, menjadi tanggungjawab SPR untuk memastikan proses undian yang selamat, telus, adil dan mudah bagi pengundi seterusnya mengukuhkan keyakinan awam umum terhadap sistem pemilihan.
“Ramai rakyat Malaysia termasuk dari Sabah dan Sarawak terpaksa mencari rezeki jauh dari tempat asal mereka,” kata Yii.
“Mereka tidak patut dibebankan lagi dari segi kewangan atau diletakkan dalam risiko dalam keadaan wabak Covid-19 dengan perlu pulang ke kawasan masing-masing semata-mata mahu melaksanakan hak asasi mereka untuk mengundi.”
Menurutnya, kira-kira 20% pengundi Sarawak tinggal dan bekerja di negeri lain.